United Jadi Lauk Lagi

Erik ten Hag sugul selepas United tewas lagi kali kedua di Old Trafford di tangan Liverpool dan kali ini Spurs namun yakin kedudukannya masih ‘selamat’. Foto Getty Images
MANCHESTER, 29 Sep – Manchester United terus mempamer prestasi buruk ketika tewas 0-3 di tangan Tottenham Hotspur awal pagi tadi sekaligus meletakkan Erik ten Hag kembali dalam kerusi panas tetapi tetap yakin kedudukannya masih selamat.
Baru memasuki minit ketiga sudah menyaksikan pertahanan United mudah dibolosi Micky van de Ven yang kemudiannya disudahkan Brennan Johnson untuk gol pertama Spurs.
Namun, Ten Hag yang jawatannya dalam ‘bahaya’ pada musim lalu menegaskan dia tidak bimbang dengan nasibnya di kelab itu.

“Tidak, saya tidak fikir mengenai itu,” katanya kepada wartawan. “Kami bersama membuat keputusan, sebagai pemilik, sebagai pemimpin dalam kumpulan. Kami turut tahu, ia memerlukan masa.
“Saya rasa kami akan bertambah baik dan bersatu dalam satu kumpulan. Pemain dan juga staf, jadi saya tak risau tentang itu.”
Kekalahan United itu yang mencipta rekod terburuk apabila menduduki tempat kelapan musim lalu, kini terperosok di tangga ke-12 selepas enam perlawanan.
Ia kekalahan kedua berturut-turut dengan keputusan 0-3 di tempat sendiri selepas tewas di tangan Liverpool pada 1 September sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong mereka sebelum tiupan wisel terakhir.
Lebih memburukkan keadaan apabila Bruno Frenamdes diperintah keluar padang setelah menerima kad merah pada separuh masa pertama lagi.
Bekas pertahanan United yang kini menjadi pengulas sukan, Gary Neville menganggapnya prestasi menjengkelkan.
Bekas pemain tengah Tottenham Jamie Redknapp pula berkata kepada Sky Sports: “United tampak lembik, tiada keyakinan, tiada identiti dan mereka beraksi seperti bermain di tempat lawan.
“Ten Hag perlu berbuat sesuatu. Dia seperti kehilangan idea dan bergelut untuk memotivasikan pemain.”
Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke turut menjaringkan gol untuk Spurs manakala kapten United Bruno Fernandes dibuang padang minit ke-42 selepas mengasari James Maddison.
Ten Hag pastinya kecewa apabila gol awal Johnson hampir sama dilepaskan United ketika seri 1-1 dengan Twente dalam aksi Liga Europa minggu lalu.
“Kami sangat kecewa apabila melihat ia berlaku sekali lagi, jaringan seperti ini,” kata pengendali dari Belanda itu. “Ia tidak sepatutnya berlaku terutama selepas anda mendapat arahan bagaimana menangani situasi itu.”
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

