Ukraine Beri Amaran Russia Akan Tingkatkan Serangan

KRAMATORSK, 12 Jul – Ukraine memberi amaran bahawa tentera Russia sedang bersiap untuk memperhebatkan serangan di bandar-bandar utama di Donbas.

Di timur Ukraine iaitu titik tumpuan untuk serangan Russia, angka kematian akibat tembakan hujung minggu ke atas sebuah bangunan pangsapuri di bandar Chasiv Yar di wilayah Donetsk meningkat kepada 33 orang, menurut perkhidmatan kecemasan.

Berpuluh-puluh penyelamat dilihat bekerja di tengah-tengah runtuhan bangunan yang sebahagiannya musnah sambil dibantu oleh penggali mekanikal.

“Hari ini, serangan roket maut Russia melanda Kharkiv, bandar kedua negara itu dalam serangan yang disasarkan ke atas pusat membeli-belah dan kediaman awam,” kata ketua wilayah Oleg Synyegubov.

Pendakwa raya di wilayahnya berkata, enam orang awam terbunuh, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dan bapanya, yang memandu melepasi pada masa serangan itu.

“Terdapat tanda-tanda unit musuh bersiap sedia untuk memperhebatkan operasi pertempuran ke arah Kramatorsk dan Bakhmut,” katanya, merujuk kepada dua bandar utama yang masih di bawah kawalan Ukraine.

Serangan terbaru di Ukraine berlaku ketika Eropah bersiap sedia untuk mengurangkan bekalan gas yang lebih mendalam dari Russia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata sekatan yang berbelah-bahagi oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya ternyata kurang berkesan bagi mengekang kemaraan tentera Russia.

Antara lain, beliau menuduh Kanada melemahkan sekatan terhadap Moscow apabile bersetuju membaik pulih turbin milik Jerman bagi pihak syarikat gas Russia, Gazprom.


Semalam, gergasi gas Russia Gazprom memulakan penyelenggaraan rutin lebih seminggu pada saluran paip Nord Stream 1 dengan Jerman dan negara Eropah lain memerhati dengan cemas untuk melihat sama ada bekalan gas itu dihidupkan semula.

Hujung minggu lalu, Ottawa bersetuju untuk menghantar turbin ke Jerman, selepas menjalani penyelenggaraan di Kanada.

Berikutan tindakan Kanada, ia mendorong Kyiv untuk memanggil duta Ottawa untuk menyatakan bantahan kerana melanggar persetujuan sekatan ekonomi terhadap Russia.

“Kementerian Luar Negeri terpaksa memanggil utusan Kanada ke negara kita kerana pengecualian yang sama sekali tidak boleh diterima terhadap rejim sekatan terhadap Russia,” kata Zelensky dalam ucapan hariannya di Telegram.

Jerman dan negara-negara Eropah lain memberi perhatian terhadap bekalan tenaga selepas Eni Itali dan OMV Austria berkata Gazprom mengurangkan lagi bekalan gas.

Selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari, Jerman menggantung pensijilan saluran paip kedua, Nord Stream 2, kerana kebimbangan semakin meningkat terhadap pergantungan besar Eropah kepada gas Russia.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *