UCL: PSG ‘Goyang’ Jumpa Liverpool

Kemenangan Liverpool ke atas Galatasaray 4-1 mengatur pertemuan getir menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG). Foto AFP

PARIS, 19 Mac – Arne Slot percaya Liverpool sudah memberi amaran jelas kepada Paris Saint-Germain (PSG) mengenai kemampuan sebenar mereka selepas membelasah gergasi Turkiye, Galatasaray 4-0 untuk menempah pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara menentang juara bertahan itu.

PSG sebelum ini menyingkirkan pasukan Slot menerusi penentuan penalti dalam perjalanan menjulang trofi buat kali pertama musim lalu.

Liverpool ketika itu berada di puncak Liga Perdana Inggeris (PL), namun kini mengharungi musim kedua yang lebih mencabar di bawah kendalian Slot.

The Reds kini di tangga kelima liga dan terpaksa bangkit selepas tewas 0-1 pada aksi pertama di Istanbul.

Namun tiada lagi keraguan mengenai keputusan perlawanan sebaik Dominik Szoboszlai menyamakan agregat pada minit ke-25 di Anfield.

Hugo Ekitike, Ryan Gravenberch dan Mohamed Salah menambah jaringan pada babak kedua, dengan Salah turut gagal menyempurnakan penalti ketika Liverpool bangkit bergaya selepas dikecam penyokong susulan seri 1-1 menentang Tottenham sebelum ini.

Pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai melonjak tinggi meraikan gol pertama berdepan Inter Milan pada aksi Liga Juara-Juara UEFA di Stadio Giuseppe Meazza, Milan. Liverpool menang 1-0. Foto Liverpool FC

“Mereka tidak menurunkan standard. Sukar untuk mereka meningkat lagi, tetapi mereka sangat mengagumkan setakat ini,” kata Slot mengenai PSG.

“Tetapi saya rasa selepas malam ini, mereka juga tidak teruja untuk berdepan kami.”

Liverpool menang 1-0 di Parc des Princes musim lalu walaupun jelas diasak lawan.

Namun keadaan berbeza di Anfield apabila PSG menang 1-0 walaupun Liverpool mempamerkan aksi lebih baik sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

“Kami benar-benar dikuasai ketika bermain di tempat lawan. Saya rasa kami beraksi hebat di Anfield tetapi akhirnya tewas menerusi penalti,” tegas Slot.

Keputusan Slot merehatkan beberapa tonggak utama ketika menentang Spurs hujung minggu lalu ternyata membuahkan hasil.

Salah antara yang kembali dalam kesebelasan utama dan meledak gol ke-50 Liga Juara-Juara selepas kecewa gagal menyempurnakan penalti serta beberapa peluang terbaik.

“Saya rasa itu menunjukkan mentalitinya. Dia terlepas penalti sebelum rehat dan itu detik sukar kerana mendahului 1-0 selepas 45 minit sebenarnya tidak mencerminkan permainan,” katanya.

“Namun dia bangkit pada babak kedua dengan aksi hebat. Hantaran kepada Hugo sangat berkualiti dan gol yang dijaringkan memang menjadi identitinya.” – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *