UCL: Leverkusen Persoal Taktik Arsenal

Skuad kendalian Mikel Arteta berkedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dan ia dihasilkan dengan kejayaan daripada 'set-pieces' namun Leverkusen tidak akan mengalah sama sekali.
LEVERKUSEN, 10 Mac – Ketua jurulatih Bayer Leverkusen, Kasper Hjulmand mempersoalkan sama ada taktik ‘set-piece’ Arsenal yang menjadi lawan mereka dalam Liga Juara-Juara, dibenarkan menjelang aksi pertama 16 terakhir awal pagi Khamis ini, di Jerman.
Bercakap pada sidang media hari ini, Hjulmand ditanya sama ada menghalang lawan sepatutnya dibenarkan, terutama selepas pengaruh ‘set pieces’ dalam permainan makin bertambah.
“Ia adalah cabaran besar, tapi saya perlu katakan, saya agak keliru dengan halangan bersifat menyerang ini. Saya tidak tahu sama ada ia dibenarkan mengikut peraturan apabila bola berada sangat jauh,” kata Hjulmand kepada wartawan.
Skuad kendalian Mikel Arteta berkedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dan ia dihasilkan dengan kejayaan daripada ‘set-pieces’.
Mereka menyamai rekod semusim Liga Perdana apabila mencipta gol daripada sepakan sudut dengan kemenangan 2-1 mengatasi Chelsea memberikan mereka gol ke-16 dalam kempen.
Dalam Liga Juara-Juara, Arsenal menang lapan daripada lapan aksi dan mendahului liga daripada 36 pasukan.
“Kami juga melakukannya, ia bukan sekadar dilakukan pasukan lain. Tapi ia makin menjadi sesuatu yang biasa dalam bola sepak,” kata Hjulmand.
“Akan ada banyak halangan dan mereka (Arsenal) mencipta banyak peluang daripadanya.
“Mereka melakukanya dengan sangat bagus dan menghabiskan banyak masa dalam situasi ini. Mereka adalah antara yang terbaik dalam situasi ini dan mereka banyak berlatih.”
Jurulatih dari Denmark itu merasakan halangan hanya dibenarkan jika ada situasi berhampiran bola.
“Seperti saya memahami bola sepak, apabila anda melakukan halangan badan, bola seharusnya berada dalam situasi dimainkan.
“Jadi saya hanya memikirkan – adakah ia berada dalam undang-undang untuk melakukan halangan tanpa bola berada dekat dengan anda. Mencipta ruang, menolak pemain, menolak penjaga gol?” – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



