UCL: Guardiola Akui 2025 Tahun Terburuk Man City

Pemain Manchester City muram selepas tewas 1-3 kepada Real Madrid dan tersingkir dari Liga Juara-Juara pada aksi di Santiago Bernabeu pada 19 Februari 2025. Foto AFP
MADRID, 20 Feb – Pep Guardiola mengakui Manchester City perlu dibina semula selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi ledakan hatrik bintang Real Madrid, Kylian Mbappe.
Kemenangan 3-1 di Stadium Santiago Bernabeu itu menyaksikan Real Madrid mara ke pusingan 16 terakhir menerusi agregat 6-3.
Mbappe mencipta sensasi dalam perlawanan kedua playoff itu, namun skuad City bergelut dengan masalah prestasi yang menyaksikan mereka melepaskan dua gol lewat ketika tewas 3-2 dalam aksi pertama di tempat sendiri minggu lalu.
Ia kali ketiga dalam empat musim City disingkirkan gergasi Sepanyol itu, tetapi kali pertama sejak Guardiola menyertai kelab berkenaan pada 2016, juara Inggeris itu gagal mara ke peringkat 16 terakhir.
Kedua-dua pasukan diundi untuk berdepan lebih awal dalam pertandingan kali ini dengan City menduduki tangga ke-22 daripada 36 pasukan dalam fasa liga.
“Pasukan yang lebih baik menang,” kata Guardiola kepada stesen TV Sepanyol Movistar. “Kami mengalami tahun yang buruk dalam pertandingan. Jika menduduki tempat ke-22, ia kerana kami tidak bagus. Ia adalah tahun terburuk kami.”
Kecederaan memainkan peranan penting dalam perjuangan City musim ini yang mana Erling Haaland tidak diturunkan dari bangku simpanan di Santiago Bernabeu kerana kecederaan lutut manakala John Stones terpaksa diganti dalam tempoh 10 minit pertama.
Guardiola berkata, pembinaan semula skuad itu sudah bermula apabila City membelanjakan £170 juta (kira-kira RM948 juta) untuk membawa Omar Marmoush, Nico Gonzalez, Abdukodir Khusanov dan Vitor Reis ke kelab itu ketika jendela perpindahan pertengahan musim.
“Ia perkara biasa. Tiada apa yang kekal selama-lamanya dan dalam kumpulan itu terdapat pemain yang sudah menandakan satu era,” kata Guardiola.
“Kami tidak boleh menafikan apa yang sudah dilakukan oleh kumpulan pemain ini, memenangi enam Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun.
“Bagi saingan Eropah, sentiasa layak ke suku akhir, separuh akhir, final. Ia menceritakan banyak perkara mengenai apa yang kami sudah lakukan.” – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


