Turkiye Sahkan Kesemua 20 Maut Nahas Pesawat Tentera Di Georgia

Kapal terbang kargo tentera C-130 Turkiye, yang berlepas dari Azerbaijan dalam perjalanan ke negara kami, terhempas berhampiran sempadan Georgia-Azerbaijan pada 11 November 2025. Foto Agensi

ANKARA, 12 Nov – Kementerian Pertahanan Turkiye mengesahkan kesemua 20 anggota tenteranya yang berada dalam pesawat kargo tentera C-130 yang terhempas di Georgia, terkorban.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan semua yang terkorban itu termasuk kru, lapor agensi berita TRT World.

“Mereka rakan seperjuangan kami yang gagah berani syahid pada 11 November 2025, apabila kapal terbang kargo tentera C-130 kami, yang berlepas dari Azerbaijan dalam perjalanan ke negara kami, terhempas berhampiran sempadan Georgia-Azerbaijan,” kata Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler di platform X.

Beliau turut berkongsi gambar semua mangsa yang terkorban.

Pihak berkuasa Turkiye juga memaklumkan, punca insiden masih dalam siasatan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berbincang menerusi panggilan telefon bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Georgia, Irakli Kobakhidze, untuk memantau perkembangan terbaru operasi pencarian dan penyelamatan.

Dalam satu majlis di Ankara, Erdogan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota tentera yang terkorban.

Beberapa negara dan pemimpin dunia juga menunjukkan sokongan dan solidariti kepada Turkiye selepas nahas itu. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *