Tun Musa Individu Penuh Prinsip, Integriti – PM Anwar

Keakraban Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam jelas terserlah ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
JOHOR BAHRU, 18 Apr – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam sebagai sosok yang teguh dengan prinsip dan integriti.
Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri berkata Musa juga menjadi watak yang gigih meneguh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Saya ucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat Tun Musa Hitam. Semoga Tun terus sihat dan terus memainkan peranan menyemarak perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Tun Musa menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90 hari ini. Alhamdulillah, orangnya masih bertokoh dan segak,” kata Anwar.

Menerusi catatan itu juga Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping gambar sambutan hari lahir Musa di Johor Bahru bersama isteri beliau dan para menteri kabinet yang hadir.
Terdahulu Musa menyambut ketibaaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini bersama-sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta para pegawai kanan kerajaan negeri.
Anwar tiba bagi menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 yang berlangsung jam 5 petang di perkarangan sebuah pusat beli-belah di sini.
Johor merupakan negeri pertama menjadi tuan rumah peringkat negeri sebelum majlis serupa peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu ini.
Untuk rekod, Musa menjadi Timbalan Perdana Menteri kelima dari 1981 hingga 1986 semasa pemerintahan perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
