’Tun M, Tun Daim Takkan Duduk Diam Selagi PM Anwar Berkuasa’ – Jame Stephen

Jame Stephen berpandangan, Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tidak akan duduk diam selagi mereka tidak berada dalam keadaan ‘mampu mengawal sang penguasa.’ Foto Arkib
BINTULU, 25 Jan – Sidang media bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan ramai pihak apabila beliau mengatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menyiasat musuh politik sahaja tetapi melepaskan sesiapa yang menyokong kerajaan.
Sidang media tersebut mendapat perhatian ramai pihak apabila Tun Mahathir ’memberi nasihat’ kepada media yang sebenarnya ditujukan kepada pelabur asing untuk tidak melabur di negara ini.
Bagi aktivis KEADILAN Sarawak, Jame Stephen berpandangan, Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tidak akan duduk diam selagi mereka tidak berada dalam keadaan ‘mampu mengawal sang penguasa.’
“Tugas mereka hanya untuk memberi gambaran bahawa kerajaan ini akan tidak stabil dan mereka akan cuba memberitahu kepada pelabur dan negara luar bahawa kerajaan ini yang dipimpin oleh PMX tidak akan stabil.
“Ini pada saya satu sabotaj ekonomi dan boleh dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang negara.
”Manakan tidak, sekarang pun tidur pun tak berapa lena, makan pun tak berapa kenyang, itulah yang mereka rasa apabila Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri sejak November 2022,” katanya.
Mengulas isu isteri Tun Daim, Toh Puan Nai’mah Khalid yang didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset-aset yang dimilikinya, Jame menyifatkan ia ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Na’imah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika didapati bersalah.
Tambah Jame, Itu hanyalah permulaan episod yang akan berlaku kepada apa yang Anwar yang juga Menteri Kewangan ungkap, ‘siapa yang kita perlu lawan’ dalam politik di dalam Malaysia’.
“Anwar tetap menegaskan bahawa sistem yang dibina sekian lama ini telah rosak dijahanamkan mereka puluhan tahun lamanya.
“Mereka menggunakan kuasa yang ada untuk membolot kekayaan dan harta yang ada pada negara kemudian menggunakan wang yang mereka ada untuk menyerang kembali kerajaan memerintah jika tidak mengikut kemahuan mereka”.
“Suka saya ingatkan buat anak muda yang baru mengenal sosok tubuh Tun Dr Mahathir dan Tun Daim bahawa mereka ini sukar dipercayai sebagai ‘negarawan’ kerana mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada selama ini.
“Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia dan yang lebih cakna akan perkembangan ekonomi negara terutama nilai ringgit berbanding Dolar Amerika agar dapat bersabar dalam beberapa waktu lagi.
“Dalam menentang sistem yang sudah rosak ini, kita harus realistik negara perlukan masa untuk pulih daripada kerosakan sistem dan institusi kerajaan yang selama ini melindungi ‘politikus dan perasuah’.
“Hal ini kerana untuk melawan orang besar seperti Tun Daim dan Tun Dr Mahathir, kita harus kembali ke realiti sebenar iaitu melawan mereka ini secara semberono akan menyebabkan ekonomi kita terkesan dek kerana mereka adalah dalang kepada kehilangan wang negara.
“Oleh itu, persediaan sebenar adalah rakyat di seluruh Malaysia supaya bersedia dan bersama-sama dengan Perdana Menteri untuk memerangi jenayah tersebut tidak kira berapa lama yang diperlukan agar negara kembali ke landasan sebenar,” ujarnya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
