Tun Daim Didakwa Minggu Hadapan – Azam Baki

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin (kanan) dijangka akan didakwa minggu hadapan manakala Tun Dr. Mahathir menunggu hasil siasatan polis kerana menyatakan kaum India di Malaysia ‘tidak setia’. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 25 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tun Daim Zainuddin akan dituduh mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu hadapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu Utusan Malaysia, tindakan itu dilakukan SPRM sebaik pihak peguam kepada Daim memaklumkan bekas menteri kewangan itu telah keluar dari hospital hari ini.
“Pada peringkat ini, pegawai penyiasat dalam perbincangan bagi pertuduhan di mahkamah dikenakan terhadap beliau,” katanya secara ringkas.
Terdahulu, Daim sepatutnya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM kerana suruhanjaya itu sudah mendapat kebenaran berbuat demikian.
Bagaimanapun, pertuduhan ke atas Daim dijadual semula selepas beliau dimasukkan ke hospital.

Semalam Azam berkata, Jabatan Peguam Negara sudah memberi kebenaran untuk SPRM mendakwa bekas menteri kanan terbabit sejak minggu lalu.
Kelmarin, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Na’imah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
