Tuan Ibrahim Calon PM Pas?

Kemampuan Tuan Ibrahim sebagai menteri tebuk atap 33 bulan tidak meyakinkan mana-mana pihak untuk memilihnya menyaingi kehebatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU16 kecuali Afnan Hamimi yang cuma ‘syok sendiri’ atau SS.
PENDAPAT, 13 Sep – Pelbagai cerita kelakar mula ‘menusuk kalbu’ di hati warganet gara-gara ‘muktamar’ pembangkang nun jauh di Kota Sarang Semut, Alor Setar mula mengambil tempat setelah Bersatu meninggalkan titik terendah dalam sejarah penubuhan parti itu minggu lalu.
Sama ada Tuan Ibrahim Tuan Man mahupun Abdul Hadi Awang sendiri, sebenarnya Pas terperangkap dalam manifestasi ‘angan-angan’ ciptaan mereka sendiri berkaitan isu siapa yang akan dilantik sebagai calon Perdana Menteri.
Langkah ‘sumbang’ Pemuda Pas yang diketuai Afnan Hamimi Taib Azamudeen yang cuba menjadi ‘jagoan kesiangan’ memposisikan Tuan Ibrahim sebenarnya merupakan suatu ‘rahmat’ tersendiri bagi Kerajaan MADANI kerana tiada pencapaian signifikan ditunjukkan ahli parlimen Kubang Kerian itu ketika menjadi menteri tebuk atap 33 bulan lalu.

Disifatkan timbalan presiden paling tidak berfungsi dalam sejarah parti itu, Adun Cheka, Pahang yang kekal dengan jawatan nombor dua itu bukanlah pilihan utama biarpun Abdul Hadi dikatakan menolak cadangan menjadi perdana menteri baru-baru ini.
Sudahlah tidak berfungsi, kredibiliti dalam politik juga boleh dipersoalkan memandangkan Pas lesu tidak bermaya sama ada di Dewan Rakyat mahupun di luar termasuk menjadi ‘dalang’ himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai lepas.
Segalanya serba tidak kena buat Tuan Ibrahim sendiri, walaupun tidak dicabar bagi jawatan nombor dua itu malahan jawatan naib-naib presiden, kedudukan Pas tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang penuh dengan taburan fitnah dan bukannya berdasarkan kerja memakmurkan rakyat.

Lihat saja empat negeri yang ditadbir dengan jenama ‘State Government 4’ (SG4) sejak ditubuhkan dua tahun lalu, apa pencapaian signifikan yang telah dicatat dan berapa banyak peluang pekerjaan yang terhasil daripada ‘pelaburan’ yang masuk ke Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu selama ini?
Bukankah kesemua negeri berkenaan ditadbir Pas hampir sepenuhnya sejak keputusan PRU15 dan PRN enam negeri dibangga-banggakan kononnya orang Melayu menolak Kerajaan MADANI dan masih terbuai dengan sentimen permusuhan, menunggang agama dan kebencian kaum?
Afnam Hamimi yang berkokok di pentas pemuda seharusnya memikirkan berapa kerusi yang akan tinggal di tangan Pas bersama Bersatu selepas PRU 16 kira-kira dua tahun lagi dan membiarkan majlis presiden Perikatan Nasional (PN) memutuskan siapa calon ‘poster boy’ yang akan menyaingi kehebatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tak salah menamakan Tuan Ibrahim bagi menentang Anwar, tetapi rakyat di luar sana lebih arif membandingkan dua sosok pemimpin itu bagi ukuran siapa yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara dan bukannya berani riuh dalam kandang sendiri.
Namun yang pasti, nama Tuan Ibrahim jauh panggang dari api melihatkan betapa kementerian yang diterajuinya semasa tebuk atap 33 bulan gagal melaksanakan projek menyelesaikan isu rakyat seperti tebatan banjir, loji bekalan air dan sebagainya jika diukur dengan pencapaian Anwar mengurangkan beban rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Jadi buat Afnan Hamimi, cermin-cerminkan diri dan tolong ‘suluh’ cermin yang sama kepada Tuan Ibrahim apakah layak menerajui negara dalam keadaan Pas sendiri bercakaran dengan Bersatu mengenai soal siapa yang akan melawan Anwar pada PRU16.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
