Transformasi Digital Dan Mengadaptasi Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)

Mohammad Zarizi menyifatkan penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia memacu penggunaan dan perkembangan AI sangat tepat pada masanya memandangkan teknologi itu telah dan sedang dibangunkan dengan pesat di seluruh dunia.
PENDAPAT, 8 Jan – Keupayaan sesebuah negara melaksanakan transformasi digital dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam merangsang inovasi dan meningkatkan produktiviti serta daya saing kini menjadi antara kayu ukur dalam menarik pelaburan asing.
Perkara ini jelas ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Malaysia bergerak pantas membina ekosistem AI terutamanya untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang itu bagi memenuhi kehendak syarikat gergasi teknologi yang menyatakan minat untuk melabur di negara ini.
Keseriusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif seperti ‘AI Untuk Rakyat’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 yang menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026.

Penekanan Perdana Menteri supaya Malaysia memacu penggunaan dan perkembangan AI sangat tepat pada masanya memandangkan teknologi itu telah dan sedang dibangunkan dengan pesat di seluruh dunia.
Selari dengan pembangunan pesat pusat data (data centre) yang bakal beroperasi pada suku pertama 2026, syarikat gergasi seluruh dunia seperti Google, NVIDIA dan Amazon Web Services (AWS) melihat keseriusan Malaysia menjadi pemain utama dan amat penting kesempatan terbaik ini tidak wajar dilepaskan.
Tanpa penekanan serius seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Malaysia pasti akan ketinggalan dan sukar untuk menyaingi negara lain, sedangkan negara ini sudah mula menunjukkan petanda positif dalam pertumbuhan ekonomi dengan menerima pelbagai pelaburan dari luar negara sejak pentadbiran Kerajaan MADANI.

Pelan Hala Tuju AI (AI-Rmap) Kebangsaan bertujuan untuk membangunkan ekosistem inovasi kecerdasan buatan yang memanfaatkan koloborasi quadruple helix berpandukan prinsip AI yang bertanggungjawab.
Di bawah pelan berkenaan, AI dijangka menghasilkan peningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 30 peratus berdasarkan kepada unjuran awal oleh syarikat perunding pengurusan perniagaan, McKinsey & Co.
Selaras dengan Akta Kecekapan Tenaga dan Pemuliharaan demi mencapai penjimatan tenaga, AI digunakan dalam bandar pintar di mana instrumen bagi memantau persekitaran bangunan dijalankan.

Secara tidak langsung, Malaysia bergerak pantas ke arah kelestarian dan kemampanan tenaga seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Transformasi Peralihan Tenaga (NETR).
Secara amnya, AI-Rmap menggariskan 11 kes penggunaan AI Kebangsaan, masing-masing dengan pemacu teknologi khusus seperti teknologi penderia, sistem pintar canggih dan analitik tambahan menerusi lima bidang keutamaan negara seperti:
a. Pertanian & Perhutanan;
b. Perubatan & Penjagaan Kesihatan;
c. Bandar Pintar & Pengangkutan;
d. Pendidikan; dan
e. Perkhidmatan Awam.

Pelan hala tuju itu juga menggariskan tujuh prinsip untuk membimbing pembangunan AI yang dipercayai dan bertanggungjawab iaitu:
a. Keadilan;
b. Kebolehpercayaan, keselamatan dan kawalan;
c. Privasi dan keselamatan;
d. Keterangkuman;
e. Ketelusan;
f. Akauntabiliti; dan
g. Kemaslahatan dan kesejahteraan manusia.
Inisiatif digariskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) mengiktiraf peranan AI dalam meningkatkan ekonomi Malaysia sekali gus mempamerkan keupayaan sebenar Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 amat tepat pada masanya.

Justeru, AI-Rmap sebenarnya merupakan dokumen rujukan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia melalui aplikasi teknologi AI di samping mempercepat transformasi negara menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.
Perkembangan-perkembangan terbaharu juga menyaksikan impak positif terhadap pengukuhan ekonomi digital dalam kerangka ekosistem digital lebih selamat, dipercayai dan memiliki perlindungan tambahan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
– Mohammad Zarizi Jamil
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
