Tragedi Titan: Pengawal Pantai AS Mulakan Siasatan

Imej televisyen perkembangan siasatan kapal selam Titan yang membawa lima penumpang meletup ketika menyelam ke bangkai kapal Titanic. Foto Arkib.

BOSTON, 26 Jun – Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan dasar laut sebuah kapal selam pelancong yang mengorbankan kesemua lima penumpang ketika menyelam ke lokasi bangkai kapal persiaran mewah Titanic.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada berkata, pihaknya sedang menjalankan penyiasatan sendiri berhubung letupan Titan yang menimbulkan persoalan mengenai sifat ekspedisi itu yang tidak terkawal.

“Matlamat utama saya bertujuan mencegah kejadian serupa dengan membuat cadangan yang diperlukan untuk meningkatkan keselamatan domain maritim di seluruh dunia,” kata Ketua Penyiasat Pengawal Pantai, Kapten Jason Neubauer, pada sidang akhbar di Boston.

Imej televisyen perkembangan siasatan kapal selam Titan yang membawa lima penumpang meletup ketika menyelam ke bangkai kapal Titanic. Foto Arkib.

Menurut Neubauer, Pengawal Pantai memulakan siasatan yang dipanggil siasatan lembaga marin pada Jumaat dan sedang bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk mendapatkan semula bukti termasuk operasi menyelamat di tapak serpihan di dasar laut kira-kira 488 meter dari haluan bangkai Titanic, kira-kira empat kilometer di bawah permukaan.

“Penemuan itu akan dikongsi dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan kumpulan lain bagi membantu meningkatkan rangka kerja keselamatan untuk operasi tenggelam di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, Pengawal Pantai sedang berhubung dengan keluarga lima mangsa yang terbunuh dan penyiasat akan mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk mengeluarkan mayat di lokasi kejadian.

Titan yang membawa pelancong ke lokasi kapal karam Titanic dilaporkan hilang di pantai timur Kanada, pada 18 Jun lalu.

Kapal selam itu dilaporkan hilang sekitar 370 kilometer dari pantai Newfoundland Kanada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *