Tragedi Oktober – Derita Rakyat Berganda Di Musim Bencana!

PENDAPAT, 10 Okt – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fasa peralihan monsun di dalam negara sudah pun bermula pada 3 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga November 2022.
Ia seakan petanda negara akan mengalami satu lagi episod duka kerana rakyat masih tidak dapat melupakan kejadian banjir paling buruk melanda Taman Sri Muda di Shah Alam pada akhir tahun 2021.
Sebagai seorang manusia yang mempunyai perasaan perikemanusiaan, apa jua musibah yang melanda mana-mana masyarakat atau negara, pasti mendatangkan perasaan penuh simpati dan dukacita.

Sepanjang hidup saya, kita semua sering mendengar berita banjir melanda pada akhir tahun. Tetapi hanya pada tahun ini, saya mendapati bahawa kerajaan bersama jentera agensi kerajaan bersiap sedia untuk menghadapi banjir yang dijangka melanda di hampir setiap negeri.
Pemimpin-pemimpin kerajaan setiap hari mengeluarkan kenyataan bahawa bah besar bakal berlaku, seolah-olah mereka telah ‘menunggu’ sepanjang tahun untuk menyambut kedatangan banjir.
Gila!
Sebenarnya, segalanya terkait kepada ura-ura parlimen akan dibubarkan. Pelbagai berita seumpama ini telah disiarkan dan disensasikan. Keghairahan mereka terhadap bah besar dalam konteks mereka, bagaikan kisah bahtera besar Nabi Nuh.
Memang gila!

Lebih gila lagi, mereka yang digelar ‘kluster mahkamah’ ini mahu kes-kes yang melibatkan mereka ‘diselesaikan’ segera dengan ‘mandat’ dan kerajaan baharu seperti mana yang terjadi pada siri PRN sebelum ini.
Namun hakikatnya, banjir berlaku sepanjang masa, bukan hanya berlaku semasa musim tengkujuh atau semasa peralihan monsun. Buktinya, pada bulan Ogos dan September tahun ini pun, banjir besar telah melanda beberapa kawasan di Johor dan Sabah.
Pontian, Batu Pahat, Penampang, Tuaran merupakan daerah yang sudah pun menerima kedatangan banjir setelah dikatakan hujan turun tanpa henti hampir 24 jam.
Fenomena banjir dan air pasang besar kini tidak hanya berlaku semasa monsun, sebaliknya apa yang berlaku adalah banjir kilat yang disebabkan bukan perubahan iklim, tetapi akibat kerakusan tangan-tangan manusia sendiri.
Masih ingat banjir di Kedah (Alor Star dan Baling) yang berlaku pada bulan Julai? Punca banjir adalah kerana penurunan hujan yang “luar biasa” (https://www.mada.gov.my/?page_id=1223)?

Apakah masyarakat moden masih lagi mengaitkan bencana dengan kuasa mistik atau kecuaian kerajaan negeri yang telah merosakkan habitat alam semula jadi?
Tanyalah penduduk di Baling, apa yang terfikir dalam minda mereka apabila melihat balak besar ‘melintas’ yang menghancurkan rumah mereka sama sekali.
Ada hujah berasas mengapa Pakatan Harapan (PH) yang menegaskan supaya jangan ada pilihan raya pada tahun ini kerana kajian saintifik telah membuktikan musibah banjir akan berlaku.
Namun, Barisan Nasional tetap inginkan pilihan raya supaya kononnya kerajaan baharu kelak mampu menangani banjir dengan lebih efektif.
Perikatan Nasional pula (PN) tidak mahu PRU sekarang kerana ketakutan hilang kuasa (banjir hanya alasan tempelan).
Namun begitu, perspektif daripada pada ketiga-tiga gabungan politik ini berbeza, tetapi hakikatnya masalah banjir harus diselesaikan.
Iltizam KEADILAN telah mengilhamkan idea membentuk sukarelawan pengurusan bencana, melalui https://sukarelawankeadilan.org/ yang dilancarkan pada 6 Oktober 2022.

Inisiatif ini bertujuan untuk menambahbaik pengurusan sukarelewan menangani bencana serta persediaan yang rapi dalam membantu agensi bencana kerajaan sedia ada – agar kesilapan pada 2021 tidak akan berlaku lagi.
Cukup terbukti, KEADILAN (dan Pakatan Harapan) lebih mengutamakan kebajikan rakyat marhaen apabila bencana melanda. BN & PN hanya lebih mementingkan kuasa politik mereka yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi.
Itulah sebab mengapa Pakatan HARAPAN bakal mendapat sokongan dalam PRU15 nanti. Dan sekiranya terpaksa juga meredah banjir demi PRU15, PH akan menyeru rakyat bersatu-padu keluar mengundi dan menumbangkan UMNO serta menamatkan kegilaan Zahid Hamidi demi rakyat Malaysia.
Jangan biarkan ‘Tragedi Oktober’ bakal membuatkan derita rakyat berganda pada musim bencana!
“Tak sanggup lagi aku
Mengenang kisah lalu
Keganasan menghantui diriku
Biarkan ia pergi
Menjadi suatu misteri
Bagaikan tiada hati yang peduli
Tidak mahu kuingat lagi
Apa yang telah terjadi
Tragedi Oktober…”
– Lirik Lagu Tragedi Oktober, oleh Awie (Wings)
Andre Lai
Ketua Cabang Wangsa Maju
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
