TotalEnergies Setuju Tingkat Pelaburan Di Malaysia – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memenuhi jemputan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

RIYADH, 29 Apr – Syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas di negara ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata syarikat berkenaan juga akan terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia.

“Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan,” menurut Anwar.

Terdahulu, Anwar sempat memenuhi jemputan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.

TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia.

Syarikat terbabit juga memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor di negara ini antaranya tenaga boleh diperbaharui, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.

Terdahulu Anwar berkata Malaysia dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu pada Mesyuarat Khas WEF yang berlangsung selama dua hari bermula pada Ahad.

Anwar berkata delegasi Malaysia pada mesyuarat itu juga akan berkongsi dasar dan hala tuju negara di samping mempertegas pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin dunia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *