Titah Adendum: Nasib Najib Diketahui Esok

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media selepas sesi perbicaraan rayuan terakhir membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada 18 Ogos 2022.
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Esok merupakan hari penentu buat bekas Perdana Menteri, Najib Razak sama ada dibenar untuk menjalani baki hukuman pemenjaraan di rumah atau terus berada di Penjara Kajang, di Mahkamah Tinggi di sini.
Keputusan berhubung Titah Adendum itu akan disampaikan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching yang telah mendengar segala hujahan daripada pihak-pihak sebelum ini.
Jika Najib berjaya memperoleh perintah itu, bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut akan menjalani hukuman penjara di kediamannya.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah menolak permohonan tersebut, Najib perlu kekal di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh pemenjaraannya.
Hukuman pemenjaraan di rumah itu, berdasarkan penjara enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau didapati bersalah dalam kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Terdahulu, pihak pembelaan Najib dalam satu sidang akhbar menegaskan, sekiranya permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum itu dibenar, Najib akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Peguam Tan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, ia yang mana Najib akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta.
Untuk rekod, sepatutnya keputusan itu adalah pada 5 Januari depan namun diawalkan esok selepas firma guaman Shafee & Co yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi menyatakan pemohon (Najib) meminta pertimbangan semula tarikh keputusan.
Ia menyatakan pemohon dengan memohon tarikh keputusan dibawa lebih awal, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

