Tindakan Bawa Rakyat Palestin Ke Malaysia Atas Keputusan PM Anwar Yang Prihatin

Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa penduduk Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia adalah sebagai tanda keprihatinan beliau terhadap nasib mereka yang diserang rejim pengganas Israel di mana saja. Foto Bernama
GUA MUSANG, 16 Ogos – Tindakan membawa rakyat Palestin yang cedera dari Mesir ke Malaysia adalah di atas keputusan dan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri sangat prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, yang menderita akibat serangan bom bertalu-talu rejim Israel ke atas Gaza yang telah lama berlarutan.
“Mereka (pesakit warga Palestin) akan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera seperti yang diharapkan pihak Gaza.

“Selepas rawatan itu tamat dan mereka sihat kembali, insya-Allah satu usaha akan dibuat supaya mereka dihantar kembali ke Gaza untuk menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Orang Asli di Pusat Daerah Mengundi di Pos Pulat, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketibaan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera, ke Pangkalan Udara Subang, Selangor hari ini.
Kedua-dua pesawat itu membawa seramai 41 orang pesakit dan 86 waris mereka, berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, di Kaherah, Mesir malam tadi.
Terdahulu, Ahmad Zahid turun padang ke empat lagi pos Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri iaitu Pos Gob, Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Pasik.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
