Tiga NGO Sertai Ops Ihsan Tiada Rekod Isu Keganasan – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media kementerian di Putrajaya hari ini.
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Ops Ihsan di Gaza, Palestin, tidak terbabit dalam isu keganasan seperti disenaraikan Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berdasarkan semakan polis terhadap ketiga-tiga NGO berkenaan.
Katanya, kerajaan sedia maklum mengadakan operasi kemanusiaan bagi membantu penduduk di Gaza membabitkan sekumpulan NGO.
Katanya, sebelum operasi itu bermula sudah tentu akan diadakan semakan terlebih dahulu supaya tidak berlaku masalah ketika operasi berjalan.
“Seramai 359 individu menganggotai NGO ini membabitkan 53 kumpulan dan kesemua mereka dibuat semakan terlebih dahulu oleh pihak keselamatan supaya tidak terbabit dengan aktiviti keganasan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.
Susulan itu Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
