Tiga Maut, Lima Parah Insiden Tikam Di Jerman

Pihak berkuasa mengawal lokasi kejadian tikam di bandar Solingen, barat Jerman pada Jumaat. Foto AFP
BERLIN, 24 Ogos – Sekurang-kurangnya tiga maut dan beberapa lagi cedera dalam serangan bersenjatakan pisau di bandar Solingen, barat Jerman, lapor Agensi Anadolu (AA).
Jurucakap polis, Alexander Kresta, berkata seorang lelaki menikam orang ramai secara rambang semasa festival muzik di pusat bandar dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Katanya, pihak polis sedang menemu bual saksi dan mengumpul maklumat untuk mengenal pasti suspek.
Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam serangan itu, manakala lima lagi mangsa parah dibawa ke hospital untuk rawatan.
Menurut laporan akhbar Bild, suspek sengaja menikam mangsa di bahagian leher.
Penyiasat kini mengklasifikasikan jenayah ini sebagai serangan pengganas, lapor akhbar itu.
Polis Solingen meminta orang ramai mengelakkan pusat bandar semasa operasi berlangsung.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

