Tiba Giliran Rakyat Sabah Berbuka Puasa Dengan PM Anwar Hari Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri beberapa program rasmi dalam lawatan kerja sehari ke Sabah pada 15 Mac 2026. Foto Arkib PMO

KOTA KINABALU, 15 Mac – Setelah kelmarin rakyat Sarawak terutama sekitar Kuching dan Petra Jaya teruja dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini tiba giliran rakyat Sabah khususnya sekitar Kota Kinabalu pula untuk berbuka puasa dengan Perdana Menteri.

Majlis Berbuka Puasa MADANI Tahun 2026 Peringkat Negeri Sabah hari ini pastinya istimewa di mata rakyat negeri ini yang sekian kali mengharapkan Anwar kerap mengambil berat isu setempat yang mahukan penyelesaian.

Majlis itu berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan menyampaikan amanat serta menunaikan solat maghrib secara berjemaah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching pada 13 Mac 2026. Foto PMO

Majlis Berbuka Puasa MADANI itu antara program rasmi Anwar bersempena dengan lawatan beliau ke Sabah hari ini.

Terdahulu, Anwar akan memulakan lawatan dengan menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah pada 12 tengah hari.

Seterusnya pada 2.30 petang, Perdana Menteri dijangka hadir ke program Mini Konvensyen KEADILAN dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Peringkat Negeri Sabah di Hotel Klagan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam Majlis Tinjauan Bazar Ramadan Taman Sukma Ria, Petra Jaya bersama Premier Datuk Abang Johari Tun Openg dan TPM Datuk Ssri Fadillah Yusof pada 13 Mac 2026. Foto PMO

Pada sebelah petang, beliau dijadual meluangkan masa mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan University Apartment, Sepanggar pada 4.55 petang sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama-sama rakyat Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan menteri kabinet negeri dijadual mengiringi Anwar sepanjang lawatan kerja selama sehari itu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *