Tiada Istilah Gencatan Senjata Pengganas Israel-Gaza Sehari Selepas Keputusan ICJ

Rakyat Palestin melarikan diri dari Khan Younis susulan operasi darat Israel, bergerak ke Rafah, di tengah-tengah runtuhan masjid susulan konflik berterusan antara pengganas Israel dan pejuang Palestin di selatan Semenanjung Gaza. Foto AFP
GAZA, 28 Jan – Ribuan orang awam terperangkap di selatan Gaza akibat pengeboman dan pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin semalam, sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Israel mesti menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid).
Saksi juga melaporkan lebih banyak serangan berlaku di Khan Younis, pusat serangan Israel ke atas Gaza, dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, beberapa orang yang maut dan cedera dibawa ke hospital Al-Amal yang hampir tidak berfungsi di bandar itu.
Sementara itu, di Hospital Nasser Khan Younis, terbesar di bandar yang dikepung, Doctors Without Borders berkata, kapasiti pembedahan “hampir tidak wujud”.
“Perkhidmatan perubatan di hospital itu sudah “runtuh” dan beberapa kakitangan yang kekal “mesti menghadapi bekalan yang sangat rendah dan tidak mencukupi untuk mengendalikan keadaan mangsa besar-besaran,” menurut agensi itu.
Serangan itu dibuat selepas ICJ memutuskan Israel mesti menghalang kemungkinan tindakan genosid dalam perangnya.

Bagaimanapun ICJ tidak mengarahkan gencatan senjata, namun Israel mesti memudahkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan segera.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata seramai 350 pesakit dan 5,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran kekal di hospital dan pertempuran di kawasan sekitar masih berterusan.
“Hospital Nasser kehabisan makanan, bahan api dan bekalan serta menggesa gencatan senjata segera supaya keperluan boleh diisi semula,” katanya dalam platform X.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Meirav Eilon Shahar, mendakwa WHO berpakat dengan Hamas dengan mengabaikan bukti Israel mengenai “penggunaan tentera” hospital Gaza oleh Hamas.
Tuduhan itu ditolak oleh Tedros dan mengatakan ia boleh membahayakan kakitangannya yang mempertaruhkan nyawa untuk berkhidmat kepada mereka yang terdedah.
Pada masa sama, Majlis Keselamatan PBB akan bermesyuarat pada Rabu ini untuk membincangkan keputusan ICJ. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
