Terus Perkasa Budaya Ilmu, Hidupkan Teks Turath – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan peluncuran karya penting Aqaid al-Nasafi bersama tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka seperti Profesor Ungku Aziz, Profesor Bakar Hamid dan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru usaha berterusan dilakukan bagi memperkasa budaya ilmu serta menghidupkan semula teks turath sebagai wahana penting memperkukuh akidah dan pemikiran umat.

“Dalam suasana dunia yang kerap berantakan dengan kekeliruan nilai dan penyimpangan makna, usaha menghidupkan kembali teks-teks turath seperti ini adalah satu wahana penting ke arah pemerkasaan umat,” ujar Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook bersempena dengan pelancaran karya Aqaid al-Nasafi.

Beliau berkata pelancaran karya berkenaan yang disaksikannya suatu ketika dahulu bersama-sama tokoh ilmuwan terkemuka mencerminkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam di Nusantara.

“Dalam satu majlis yang sarat makna, saya berkesempatan menyaksikan peluncuran karya penting Aqaid al-Nasafi bersama tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka seperti Profesor Ungku Aziz, Profesor Bakar Hamid dan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

“Ia menjadi satu penyuguhan khazanah pemikiran yang telah lama mendukung tradisi keilmuan Islam di Nusantara,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kekuatan sesebuah tamadun tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya turut ditentukan oleh keutuhan akidah dan kedalaman wacana intelektual.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para ulama dan ilmuwan Islam sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Shah Alam pada 18 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau turut mengajak masyarakat untuk menyemarakkan budaya ilmu melalui pembacaan, penggarapan dan pentafsiran dengan hikmah.

“Justeru, saya mengajak kita semua untuk terus menyemarak budaya ilmu yakni dengan membaca, menggarap serta menafsir dengan hikmah agar legasi pemikiran ini tidak sekadar dikenang tetapi terus hidup dalam kehidupan seharian sebagai manusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para ulama dan ilmuwan Islam sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Shah Alam pada 18 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Walhasil, di situlah terletaknya kekuatan sebenar sebuah bangsa yang berteraskan tradisi ilmu dan keteguhan iman,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *