TERKINI: Tun Daim Mengaku Tidak Bersalah Tidak Isyithar 38 Syarikat, 25 Hartanah

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tiba berkerusi roda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama isteri dan peguam. Foto Kosmo

KUALA LUMPUR, 29 JanBekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu kesalahan tidak mendedahkan aset.

Aset yang sepatutnya diisytihar ialah melibatkan 38 syarikat, 25 hartanah dan tujuh kereta mewah berdasarkan pertuduhan yang dibacakan ke atasnya oleh Hakim Azura Alwi.

Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin tiba di Mahkamah Sesyen pada pukul 8.30 pagi dengan berkerusi roda ditemani isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan peguam serta pembantu.

Sabtu lalu Daim dalam kenyataan ringkas melalui peguamnya menyatakan beliau akan didakwa atas pertuduhan sama yang dikenakan terhadap isterinya.

Sebelum ini, SPRM telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari tahun lalu rentetan daripada pendedahan Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tiba berkerusi roda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama isteri dan peguam. Foto Kosmo

Pada 21 Disember 2023, media melaporkan bahawa SPRM telah menyita Menara Ilham milik keluarga itu.

Pada 10 Januari lalu, Daim dan keluarga memfailkan semakan kehakiman mencabar tindakan SPRM menyiasat dan menyita aset mereka termasuk akaun-akaun bank dan kenderaan.

Oleh itu, Daim dan keluarganya memohon relif antaranya satu deklarasi bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat kesemua pemohon mengikut Akta SPRM atau pengubahan wang haram.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM ke atas Daim dan keluarganya termasuk Menara Ilham adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Kesemua pemohon juga menuntut agar kesemua siasatan terhadap mereka dihentikan, memulangkan semula semua dokumen dan aset yang disita dan menyahbeku akaun-akaun bank termasuk akaun bank syarikat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *