TERKINI: Tharman Hampir Pasti Dipilih Presiden Singapura Baharu

Tharman Shanmugaratnam bersama isterinya Jane Ittogi mengadakan sidang media pemakluman keputusan kiraan sampel undian Presiden Singapura di Pusat Makanan dan Pasar Taman Jurong sebentar tadi. Foto AsiaOne Singapura

SINGAPURA, 1 Sep – Bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam mendahului kiraan sampel undian bagi jawatan Presiden Singapura yang baharu setakat kiraan jam 11 malam tadi.

Tharman 70, memperoleh 70 peratus kiraan sampel undian jauh mendahului dua lagi pencabarnya iaitu bekas Ketua Penerangan NTUC Ng Kok Song yang hanya memperolehi 16 peratus.

Seorang lagi calon Tan Kok Lian pula hanya mendapat 14 peratus daripada sejumlah 2.4 juta undi yang dikumpul daripada lebih 2.7 juta pengundi yang layak mengundi setelah pusat pengundian ditutup jam 8 malam tadi.

Tharman mengadakan sidang media khas di sebuah pasar dan pusat makanan di Taman Jurong memaklumkan keputusan awal berkenaan dan keputusan akhir akan dapat diketahui tidak lama lagi.

Tharman Shanmugaratnam bersama isterinya Jane Ittogi mengadakan sidang media pemakluman keputusan kiraan sampel undian Presiden Singapura di Pusat Makanan dan Pasar Taman Jurong sebentar tadi. Foto AsiaOne Singapura

Para penyokongnya telah mula berkumpul seawal jam 8 malam di kawasan itu manakala dua lagi pencabar Tharman dilihat belum mengadakan sidang media masing-masing.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada jutaan rakyat republik itu yang memberi kepercayaan menjadikan beliau sebagai ketua negara yang baharu bagi penggal 2023 hingga 2029.

Tharman bakal menggantikan Presiden Halimah Yacob yang tidak mempertahankan jawatan apabila tempohnya tamat pada 13 September ini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dijangka akan menyampaikan ucapan khas setelah Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan keputusan rasmi dalam tempoh terdekat.

Pemilihan presiden republik itu kali pertama diadakan pada 28 Ogos 1993.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *