TERKINI: SPR Tetapkan PRK Sungai Bakap 6 Julai, Penamaan 22 Jun

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom mengadakan sidang media khas pengumuman PRK DUN Sungai Bakap di Menara SPR Putrajaya pada Khamis. Foto Sinar Harian

PUTRAJAYA, 6 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR di sini pada Khamis, bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Sungai Bakap.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap mewakili Perikatan Nasional (PN) di bawah Parlimen Nibong Tebal sejak PRN 2023 meninggal dunia selepas bergelut melawan keradangan dalam perut sejak beberapa bulan lalu.

PRK Sungai Bakap merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom mengadakan sidang media khas pengumuman PRK DUN Sungai Bakap di Menara SPR Putrajaya pada Khamis. Foto Sinar Harian

Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bulan April 2024 yang dikemaskini sehingga 24 Mei akan digunakan pada PRK itu.

Azmi berkata, secara keseluruhan PRK Sungai Bakap memerlukan peruntukan dianggarkan sekitar RM2.5 juta dengan jumlah pengundi seramai 39,279 orang.

Beliau berkata, dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Menurut Azmi, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 22 Jun ini hingga 11.59 malam, 5 Julai.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *