TERKINI: Najib Dihukum Penjara 15 Tahun, Denda RM11.38 Bilion

Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram pada 26 Disember 2025.

PUTRAJAYA, 26 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu didapati bersalah terhadap semua pertuduhan.

Pendakwaan memohon Najib didenda RM11.4 bilion, dikira sebagai lima kali ganda nilai suapan dalam pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram pada 26 Disember 2025. Foto Reuters

Bagi setiap empat tuduhan menggunakan kedudukan, hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib dan lima tahun penjara bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.

Semua hukuman diarahkan berjalan serentak dan hanya selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Sequerah turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara 40 tahun jika beliau gagal membayar denda berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib (kanan) dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam (dua kiri) ketika hadir keputusan kes pembelaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Putrajaya. Foto Hari Anggara / NSTP

Terdahulu pendakwaan menyifatkan kesalahan menggunakan kedudukan bagi suapan dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib sebagai antara ‘kes jenayah kewangan terburuk yang boleh dibayangkan’ di negara ini.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memohon Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman penjara maksimum ke atas bekas Menteri Kewangan itu berikutan sabitan bersalah terhadap kesemua 25 tuduhan berkenaan.

Sebahagian daripada penyokong Najib berada di sekitar Istana Kehakiman Putrajaya bagi mendengar keputusan perbicaraan skandal 1MDB pada 26 Disember 2025. Foto Reuters

“Ini adalah jenayah kleptokrasi pada tahap paling teruk dan pengkhianatan mutlak terhadap amanah kerana tertuduh pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB,” katanya.

Ahmad Akram turut menekankan kesan buruk terhadap kewangan negara, dengan jumlah liabiliti 1MDB kini hampir RM50 bilion, yang mana kerajaan telah membayar kira-kira RM42 bilion dan baki hutang sekitar RM13 bilion yang terpaksa dibayar sehingga 2039.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *