TERKINI – Lebih 70 Pemimpin, Anggota KEADILAN Wangsa Terus Aktif Sokong Kempen Ayuh Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Jul – Rayuan ikhlas pengasas Ayuh Malaysia, Rafizi Ramli kepada seluruh rakyat Malaysia bukan saja mendapat respon segera daripada KEADILAN Cabang Wangsa Maju, malam turut aktif menyertai setiap program yang diadakan.
Sejak dilancarkan pada 26 Mac lalu di sini, ternyata pemimpin segenap peringkat cabang berkenaan menyambut saranan Rafizi dengan penglibatan dalam setiap aktiviti amat menggalakkan.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, beliau memastikan kira-kira 70 anggota yang terdiri daripada pelbagai latar belakang menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan pihak Ayuh Malaysia.
“Sejak ura-ura saudara Rafizi kembali ke arena politik mula menjadi bualan hangat awal Mac lalu, saya telah menyusun anggota cabang yang bersama dengan kami menyertai setiap kempen yang dianjurkan Ayuh Malaysia.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab yang diamanahkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew yang mahu setiap anggota cabang bergiat aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan Ayuh Malaysia sehingga semalam,” ujarnya ketika ditemui sejurus selesai majlis makan malam yang diadakan di sini pada Sabtu.
Tambah beliau yang juga Pegawai Khas kepada Dr Tan Yee Kew, ini dibuktikan dengan kehadiran sebegitu ramai anggota cabang menyertai sesi latihan sukarelawan yang dikendalikan sendiri Rafizi pada sebelah petang Sabtu.

“Saya amat berpuas hati dengan komitmen setiap anggota yang hadir iaitu kira-kira 70 orang yang sanggup meluangkan masa hadir dan mendaftar sebagai peserta bengkel latihan sesi sukarelawan yang Saudara Rafizi sendiri kendalikan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada sebelah malam pula, anggota cabang yang hadir pada sesi latihan, turut hadir memeriahkan majlis makan malam anjuran Ayuh Malaysia sebagai bukti sokongan padu KEADILAN Wangsa Maju terhadap setiap program yang dianjurkan.

“Saya mewakili kepimpinan cabang dan Datin Paduka menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota cabang yang hadir memeriahkan majlis makan malam yang dianjurkan Ayuh Malaysia.
“Harapan saya apabila kelima-lima inisiatif teras yang digariskan pihak Ayuh Malaysia yang dikupas secara mendalam oleh Saudara Rafizi malam tadi dapat menyuntik semangat mereka untuk mempertahankan kerusi parlimen Wangsa Maju pada PRU-15 kelak,” ujar beliau lagi.

Menyifatkan majlis makan malam tadi berjaya mencapai sasaran, beliau optimis dengan penglibatan aktif setiap anggota cabang dalam kempen Ayuh Malaysia secara konsisten dapat memastikan Wangsa Maju terus berada dalam penguasaan KEADILAN tanpa mengira bila PRU-15 diadakan.
“Dengan semangat yang dijana Saudara Rafizi menyeru semua rakyat Malaysia membantu beliau menghadapi PRU-15 demi memastikan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang kini mempunyai jalan keluar dengan pelbagai kaedah pelaksanaan yang beliau sarankan menerusi setiap ucapan beliau,” ujarnya.

Kehadiran Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar juga menambah semangat anggota KEADILAN Wangsa Maju serta rakyat biasa kerana mereka melihat gandingan kedua-dua ikon nasional ini memberi sinar baharu kepada rakyat Malaysia.
