TERKINI – Kesemua Meja Majlis Makan Malam Ayuh Malaysia Telah Habis Ditempah

KUALA LUMPUR, 2 Jul – Kesemua meja yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia dan penyokong bakal Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bagi majlis makan malam bagi mengutip sumbangan kempen Ayuh Malaysia, telah habis dijual.
Menurut laman sesawang https://ayuhmalaysia.org, meja berharga RM1,000 hingga RM10,000 telah habis ditempah pelbagai pihak daripada orang perseorangan sehinggalah syarikat korporat pada Jumaat.
Majlis yang akan diadakan bermula jam 8 malam ini mensasarkan mengutip sumbangan lebih RM200 ribu bagi penganjuran malam ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah kesemua meja yang ditawarkan menerusi atas talian telah habis ditempah menjelang malam tadi dan kami mensasarkan untuk mengutip lebih RM200 ribu bagi membiayai kempen Ayuh Malaysia yang akan mula menjelajah ke seluruh negara,” ujar seorang pegawai yang menguruskan tempahan ketika dihubungi pada Sabtu.
Difahamkan, kebanyakan meja yang mula dijual dua minggu lalu semakin mendapat sambutan hingga beberapa pihak memohon agar tambahan meja diberikan kepada mereka setelah mengetahui kesemua meja yang diperuntukkan telah habis.
Majlis makan malam ini adalah yang pertama bagi Rafizi bagi mengutip sumbangan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka akan diadakan sekitar Oktober tahun ini.
Khamis ini, majlis makan malam yang serupa akan diadakan di Johor Bahru, Johor dengan tempahan meja masih lagi dibuka kepada warga negeri itu dan rakyat Malaysia yang berada di Singapura.
