TERKINI – Hari Mengundi PRU-15 Ditetapkan Pada 19 November 2022

PUTRAJAYA, 20 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa 19 November 2022 ialah hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh sebentar tadi.

Terdahulu, menyuarat khas itu bermula 10.05 pagi tadi bagi menentukan tarikh penting PRU-15.

Tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah turut dibincangkan dalam mesyuarat khas itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Abdul Ghani itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, Setiausaha, Ikmalrudin Ishak, ahli-ahli SPR iaitu Chin Phaik Yoong, Zoey Randhawa, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, Awang Sahari E M Nadzeer dan Nik Ali Mat Yunus serta pegawai-pegawai kanan SPR.

Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRU kali ini berbeza apabila beberapa DUN tidak dibubarkan iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang manakala tiga negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN masing-masing untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU-15.

Sebelum ini, PRU yang menyaksikan pilihan raya di peringkat Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali Sarawak dijalankan secara serentak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *