TERKINI – Bekas PM Jepun Meninggal Dunia Ketika Menerima Rawatan Selepas Ditembak

TOKYO, 8 Jul – Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan telah meninggal dunia semasa menerima rawatan, lapor BBC memetik laporan stesen televisyen negara itu, NHK.

Beliau dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan setelah dikejarkan ke ke hospital menggunakan helikopter manakala penembak Abe telah ditahan polis sejurus selepas kejadian tersebut berlaku di bandar Nara.


Terdahulu, Abe dilaporkan ditembak ketika sedang berucap pada satu majlis di bandar Nara, barat Jepun, pada Jumaat.

Menurut laporan beberapa agensi berita antarabangsa, Abe rebah dalam keadaan berdarah dan dikejarkan ke hospital berdekatan.

Media melaporkan, kedengaran bunyi seperti tembakan ketika kejadian dan seorang suspek lelaki telah ditahan di lokasi sama.


Seorang wartawan stesen penyiaran NHK yang berada di lokasi berkata, mereka mendengar bunyi dua das tembakan berturut-turut ketika Abe sedang berucap.

Menurut Kyodo News, Abe berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mungkin mengalami serangan jantung.

Mengesahkan insiden tersebut, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirozaku Matsuno dilaporkan berkata, kejadian berlaku sekitar 11.30 pagi waktu tempatan.


Katanya, Abe berada di Nara sebagai sebahagian program kempen pilihan raya yang dijadual berlangsung pada Ahad (10 Julai).

Menurutnya, ketika berita awal disiarkan, keadaan Abe masih belum dapat dipastikan ketika ini dan Kerajaan Jepun sedang menyelaras tindak balas susulan insiden tersebut.

“Kesemua anggota Kabinet yang sedang berkempen, atau membantu kempen tersebut, diarahkan pulang ke Tokyo dengan segera.


“Keganasan seperti ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan,” tegasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *