Tentera Hanya Beri 45 Minit Untuk Hasina Tinggalkan Bangladesh

Sheikh Hasina tiba di India dan diberi perlindungan setelah tentera Bangladesh mengarahkannya meninggalkan negara itu.
NEW DELHI, 6 Ogos – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina hanya diberi masa 45 minit oleh tentera untuk meninggalkan negara itu, kata sumber.
IndiaToday melaporkan, pada mulanya Hasina mahu menyiarkan mesej kepada negara itu sebelum meninggalkan Bangladesh, tetapi tentera tidak membenarkannya berbuat demikian.
Menurut sumber, terdapat dua puak Tentera Bangladesh, satu memihak kepada Sheikh Hasina, manakala satu lagi pihak terdiri daripada pegawai rendah dan sekitar 60 pegawai bersara, menentangnya.
Satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tentera diadakan kira-kira jam 1 tengah hari pada Ahad dan pihak tentera memberitahu Hasina bahawa mereka tidak akan menghalang protes yang akan dilakukan pelajar pada Isnin.
Pada mulanya, keadaan baik sahaja sehingga jam 9 pagi Isnin, namun selepas itu, ribuan pelajar memasuki Dhaka dari sempadan Gazipur.
Keadaan kemudiannya bertambah buruk, susulan itu tentera memberi Sheikh Hasina masa 45 minit untuk meninggalkan negara itu, kata sumber.
Hasina meletakkan jawatan pada Isnin selepas protes berlaku di negara itu sejak beberapa minggu lalu.
Pesawat membawa Hasina mendarat di pangkalan udara Hindon, berhampiran New Delhi dan kini dalam keadaan selamat di sebuah rumah di pangkalan udara di situ.
Bangladesh menyaksikan keganasan melampau pada Ahad, dengan 97 kematian, ketika penunjuk perasaan berarak ke Dhaka.
Penunjuk perasaan menyerbu kediaman Perdana Menteri dan parlimen.
Tentera kemudian mengumumkan kerajaan sementara akan mengambil alih negara itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

