Tekanan Global Ke Atas Mesir Meningkat Ekoran Rancangan Pengganas Israel

Keluarga Palestin yang terpaksa menjadi pelarian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza kini berada Rafah, dekat sempadan dengan Mesir, yang menjadi benteng terakhir bagi mereka berlindung. Foto Reuters
KAHERAH, 11 Feb – Tekanan ke atas Mesir semakin meningkat apabila lebih separuh daripada penduduk Semenanjung Gaza bersesak dalam kawasan khemah pelarian yang sempit lagi menyedihkan di Rafah.
Rafah, sebuah bandar kecil berhampiran sempadan Mesir dengan 200,000 penduduk kini turut menjadi benteng terakhir bagi lebih 1.2 juta penduduk Gaza yang kini diancam kebuluran selepas melarikan diri akibat serangan tanpa henti Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terus berkeras akan menakluki kawasan itu dan mengarahkan tenteranya untuk merancang pemindahan orang awam dari Rafah bagi melancarkan serangan baharu terhadap Hamas, pada Jumaat lalu.
Mesir pula terus mengukuhkan sempadannya dengan Gaza bagi memastikan tiada pelarian yang dapat membolosi sempadannya.
Ia juga memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang tindakan menghantar rakyat Palestin dari Gaza ke wilayahnya akan menjejaskan perjanjian damai Israel-Mesir yang menjadi sauh kestabilan Asia Barat sejak 1979.

Tindakan Israel dalam perang itu boleh memaksa titik pemecahan dan membangkitkan semula permusuhan di Asia Barat.
Ketika konflik pada masa lalu di rantau itu, Mesir mengambil pelarian dari Syria, Yaman dan Sudan.
Namun, dalam perang Israel-Palestin, ia memilih pendirian berbeza, didorong oleh kebimbangan terhadap keselamatannya sendiri dan ketakutan bahawa perpindahan itu boleh menjadi kekal dan menjejaskan aspirasi untuk sebuah negara Palestin.
Netanyahu menggelar Rafah sebagai salah satu ‘kubu kuat terakhir Hamas’ dan berikrar akan berjuang habis-habsian hingga keseluruhan pertubuhan Hamas dihapuskan sama sekali.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan mereka berpindah dari tempat lain di Gaza.
Pegawai Mesir menggesa rakan sejawat di Barat untuk memberitahu Israel bahawa sebarang langkah untuk memaksa rakyat Palestin menyeberang ke Sinai adalah satu pelanggaran yang secara langsung akan menangguhkan perjanjian damai 1979.
Kerajaan Mesir mengulangi amaran itu kepada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pada 7 Februari lalu ketika beliau berada di Kaherah untuk bertemu Presiden Abdel Fattah el-Sissi.
Pegawai AS itu berkata Mesir telah menjelaskan dengan terperinci bahawa ia bersedia untuk menjadikan sempadannya sebagai zon tentera, mungkin dengan kereta kebal, jika rakyat Palestin mula dipaksa ke Sinai.
Walaupun rakyat Mesir tidak pernah menerima Israel dalam perjanjian lebih empat dekad, ia menjadi satu perkara yang memberi kestabilan di rantau bergolak itu.
Mesir juga mendapat manfaat daripada kerjasama keselamatan itu dalam bentuk sokongan besar AS termasuk lebih daripada AS$1 bilion (RM4.8 bilion) sebagai bantuan tahunan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
