Tanah NCR: Teguran Nurul Izzah Patut Diterima Baik, Bukan Dipolitikkan – SDNU Bintulu

Pengerusi SDNU Bintulu Jame Stephen ketika menghadiri jemputan Ngiling Bidai di Ulu Niah pada 29 Jun 2025. Foto Jame Stephen

BINTULU, 30 Jun – Persatuan Dayak Nasional Sarawak (SDNU) Cawangan Bintulu menegaskan bahawa kenyataan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkaitan isu pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini harus dilihat sebagai teguran membina, bukan dijawab dengan sindiran politik oleh kerajaan negeri.

Pengerusinya, Jame Stephen, berkata gesaan yang dibuat oleh Nurul Izzah mewakili kebimbangan yang tulen terhadap nasib masyarakat Bumiputera, khususnya komuniti Dayak di kawasan luar bandar seperti di Bintulu, yang masih berhadapan dengan ketidaktentuan status tanah nenek moyang mereka.

“Kita di Bintulu tahu, masih banyak kampung dan rumah panjang Dayak yang belum menerima hak milik rasmi, walaupun mereka sudah tinggal dan mengusahakan tanah tersebut sejak turun-temurun. Jadi, apabila ada pemimpin nasional yang bersuara, kerajaan sepatutnya melihatnya sebagai peluang untuk mempercepatkan pembaharuan, bukan mempertikaikan niat,” kata Jame dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi SDNU Bintulu Jame Stephen ketika berucap menghadiri jemputan Ngiling Bidai di Ulu Niah pada 29 Jun 2025. Foto Jame Stephen

Menurut beliau, kenyataan balas Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, yang membayangkan seolah-olah Nurul Izzah bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), adalah tidak wajar dan bersifat defensif, sedangkan isu tanah adalah perkara asas yang membabitkan maruah dan kelangsungan hidup komuniti adat.

“Masyarakat Dayak di Bintulu bukan minta dilayan sebagai rakyat kelas kedua. Mereka hanya mahu kepastian ke atas tanah yang telah mereka diami sejak zaman nenek moyang. Kita tidak perlukan statistik berjela jika realitinya di lapangan masih ramai yang menunggu kejelasan status tanah mereka,” tegas beliau.

Walaupun mengakui kerajaan negeri telah membuat beberapa langkah penting, termasuk pengukuran di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan pewartaan tanah NCR melebihi satu juta hektar sejak 2010, Jame berkata pelaksanaan di peringkat akar umbi masih perlahan.

Ia terutamanya dalam proses pembahagian lot individu yang menyebabkan komuniti terus terdedah kepada ketidakpastian dan kadangkala pencerobohan oleh pihak luar.

“Di kawasan Bintulu sendiri, kami menerima aduan bahawa proses terlalu lambat, ada yang tertangguh bertahun-tahun. Penduduk kampung tidak tahu status sempadan sebenar mereka. Ini membuka ruang kepada pertikaian dan campur tangan luar,” katanya.

Jame turut menyuarakan kebimbangan terhadap generasi muda Dayak yang semakin hilang keyakinan terhadap sistem sedia ada kerana melihat tanah warisan keluarga mereka belum dilindungi secara sah.

“Kalau proses pengiktirafan dan pengeluaran hak milik ini terus lewat, apa yang akan tinggal untuk anak cucu kita nanti? Bagaimana mereka mahu mempertahankan identiti dan sumber ekonomi mereka jika tanah pun tidak pasti?” soal beliau.

Beliau juga menyambut baik pendekatan Native Territorial Domain (NTD) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, tetapi menggesa agar pelaksanaannya diperluas dengan lebih aktif dan inklusif di kawasan Bintulu dan pedalaman lain.

Jame menyeru kerajaan negeri agar menghentikan budaya menolak teguran hanya kerana ia datang daripada pembangkang di peringkat negeri tetapi sebaliknya membina satu platform dialog yang merangkumi semua pihak, termasuk NGO, pemimpin akar umbi, dan wakil pembangkang.

“Isu tanah NCR bukan milik mana-mana parti. Ia isu maruah masyarakat Dayak. Jangan nafikan suara orang luar yang prihatin, sebaliknya buktikan kita di Sarawak ini benar-benar matang dan bersedia memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira siapa yang bersuara,” tegasnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *