Taliban Tuntut AS Pulangkan AS$3.5 Bilion Milik Bank Pusat Afghanistan

KABUL, 23 Feb – Pihak berkuasa Taliban semalam menggesa Washington memulangkan AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) milik bank pusat Afghanistan selepas Hakim Persekutuan New York memutuskan keluarga mangsa dalam serangan 9/11 tidak berhak terhadap dana itu.

Amerika Syarikat (AS) menguasai aset itu sejurus selepas Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021, dengan Presiden AS, Joe Biden, berkata wang itu boleh diguna untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa 9/11.

Sebelum ini, beberapa keluarga yang menang dalam saman difailkan terhadap Taliban atas kehilangan dialami mereka, bertindak merampas dana berkenaan bagi membayar hutang penghakiman.

Bagaimanapun, Hakim George Daniels dari Selatan New York, Selasa lalu berkata Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas dana daripada bank pusat Afghanistan.

“Memang mangsa tragedi 9/11, yang juga serangan pengganas terburuk dalam sejarah negara kita, berhak mendapat pampasan seperti mana diputuskan oleh mahkamah sebelum ini, namun mereka tidak berhak terhadap dana bank pusat Afghanistan.

“Taliban, bukan bekas Republik Islam Afghanistan atau rakyat Afghanistan yang perlu membayar liabiliti Taliban dalam serangan 9/11,” katanya dalam penghakiman setebal 30 muka surat.

Daniels juga berkata beliau ‘dihalang secara Perlembagaan’ daripada memberikan aset kepada keluarga mangsa kerana ia bermakna mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan sah di Afghanistan.

“Tiada negara mengiktiraf kerajaan Taliban setakat ini, termasuk AS, maka kesimpulan asasnya… Taliban mahupun kreditor tidak berhak merampas tabung negara Afghanistan untuk membayar hutang Taliban,” katanya.

Penghakiman itu sejajar dengan keputusan hakim lain tahun lalu, sekali gus memberi tamparan kepada keluarga mangsa 9/11 serta syarikat insurans yang membuat pembayaran kerana serangan itu.

Seorang peguam untuk keluarga mangsa berkata mereka akan merayu terhadap keputusan itu.

Lee Wolosky dalam satu kenyataan, berkata keputusan berkenaan melucutkan hak lebih 10,000 ahli komuniti 9/11 untuk mengutip pampasan daripada Taliban, kumpulan pengganas yang didapati bertanggungjawab melakukan serangan 9/11 ke atas AS,” katanya.

Pihak berkuasa Taliban menyambut baik keputusan itu, dengan timbalan jurucakap kerajaan, Bilal Karimi, berkata aset berkenaan milik Afghanistan.

“Tidak sepatutnya ada alasan untuk membekukan atau tidak mengembalikan mereka kepada rakyat Afghanistan, ia mesti dipulangkan tanpa sebarang terma dan syarat,” katanya.

Pada Februari 2022, Biden mendedahkan rancangan untuk membahagikan wang tunai, dengan separuh diarahkan sebagai bantuan kepada Afghanistan dan separuh lagi kepada keluarga mangsa serangan 9/11.

Bagaimanapun, masih belum jelas apa yang akan berlaku kepada AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) yang diketepikan bagi membantu keluarga, sekiranya rayuan gagal.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *