Tak Wajar Politikkan Pembangunan Kota Madani

Faizul Abdul Ghani berpandangan penjawat awam seharusnya bersyukur dengan inisiatif Kota Madani yang dibangunkan bagi manfaat mereka, bukan melihatnya dari dipolitikkan pihak tertentu.
PENDAPAT, 30 Jun – Pembangunan Kota Madani bernilai RM4 bilion tidak wajar dipolitikkan pihak tertentu terutamanya pembangkang kerana inisiatif ini sebenarnya membawa manfaat besar kepada penjawat awam dan rakyat secara keseluruhan.
Kota Madani yang bakal diwujudkan di Presint 19, Putrajaya adalah sebagai satu usaha kerajaan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa, mampu milik dan strategik untuk golongan penjawat awam, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan hidup dan kemampanan sosial.
Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kumpulan penjawat awam yang akan menerima impak tersebut memahami fakta sebenar berhubung pembangunan Kota Madani seterusnya mempertahankan konsep tersebut.

“Entah dia (pihak tidak setuju) mewakili kontraktor lain atupun yang lain-lain. Tapi, saya tidak faham mengapa dia tidak boleh dukung lebih-lebih lagi apabila Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings boleh urus sendiri tanpa beban kerajaan secara langsung.
“Jadi, saya harap rakan-rakan kalau mahu kita beri penjelasan, biar mereka datang jelaskan.
“Kalau perlu jabatan-jabatan (beri penjelasan) kerana ramai juga lebih muda yang tunggu peluang menyewa atau menduduki rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin.

Amatlah pelik ada juga segelintir penjawat awam (di luar Putrajaya) terikut-ikut dengan tohmahan pihak berkenaan kerana selain dapat memiliki rumah pada harga berpatutan berbanding harga pasaran semasa, ia sebenarnya sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup dan memberi jaminan kediaman yang lebih baik untuk keluarga mereka.
Malah yang lebih unik, pembangunan ini tidak membebankan kewangan kerajaan kerana ia dilaksanakan melalui kerjasama pintar antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan pihak swasta, termasuk syarikat pemaju dan institusi kewangan.
Antara kemudahan yang terdapat di Kota Madani merupakan kemudahan bersepadu seperti taman rekreasi, pusat komuniti, sekolah, klinik, gimnasium dan akses pengangkutan awam yang secara tidak langsung meningkatkan kesejahteraan penjawat awam itu sendiri.

Ternyata inisiatif berkenaan membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan pembangunan terancang bagi 3,000 penghuni dan akan diperluas kepada tambahan 10,000 lagi pada fasa seterusnya.
Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menjadikan projek ini sebagai bahan polemik politik.
Sebaliknya, semua pihak perlu menyokong inisiatif ini agar dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan demi memastikan penjawat awam memiliki tempat tinggal yang selamat, selesa dan berkualiti, sekaligus menyumbang kepada produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan awam di negara ini.
– Faizul Abdul Ghani merupakan penganalisis politik
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
