Taib Kini Terima Rawatan Di Rumah

PINTU masuk kediaman peribadi Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, Kuching. Foto NSTP
KUCHING, 7 Feb – Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, 87, kini menerima rawatan di kediamannya dekat Demak Jaya, di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun itu berkeadaan baik.
Beliau berkata, setakat ini polis menerima lapan laporan berhubung isu membabitkan Abdul Taib, selepas beliau dibawa keluar dari Hospital Pakar Normah, Petra Jaya, tengah malam Sabtu lalu.
“Ya, Tun kini berada di rumahnya sendiri di Demak Jaya tetapi kita tidak boleh memberikan butiran lanjut.
“Ini kerana kes masih dalam siasatan selepas polis menerima lapan laporan sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Op Selamat sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Ketika ditanya lapan laporan polis itu diterima daripada pihak mana, Mancha enggan mengulas lanjut.
“Ia tidak boleh didedahkan kerana pihak kami masih menjalankan siasatan,” katanya.
Sabtu lalu, seorang doktor Hospital Pakar Normah membuat laporan polis selepas Abdul Taib didakwa dibawa keluar dari hospital itu.
Selepas itu, adik beliau, Datuk Mohamad Tufail Mahmud pula membuat laporan polis terhadap isteri Abdul Taib, Toh Puan Raghad Kurdi.
Mancha berkata, siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
