Tahniah Kepada Tarique Atas Kemenangan Pilihan Raya Bangladesh – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tarique Rahman Parti Nationalis Bangladesh (BNP) atas kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu pada 13 Februari 2026. Foto AFP
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Tarique Rahman serta parti itu atas kemenangan besar dalam pilihan raya negara berkenaan.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, kemenangan tersebut membuktikan kejayaan proses demokrasi apabila rakyat Bangladesh menyatakan pendirian mereka secara jelas melalui peti undi selepas melalui tempoh penuh cabaran luar biasa.
“Ia merupakan kemenangan demokrasi. Rakyat Bangladesh telah bersuara dengan jelas,” katanya mengulas perkembangan keputusan pilihan raya negara itu.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Muhammad Yunus atas peranan dan kepimpinan beliau sebagai Ketua Penasihat sepanjang tempoh peralihan berkenaan, selain memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar dan teratur.
Anwar berkata, Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh bagi menyuntik tenaga baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya bersama rakyat Malaysia menghulurkan ucapan setulusnya kepada rakyat Bangladesh,” katanya.
Terdahulu, BNP mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum Bangladesh, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara Asia Selatan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
