Syeikh Al-Azhar Bakal Lawat Malaysia 2 Julai, Penuhi Undangan PM Anwar

Syeikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyib akan melawat Malaysia bermula 2 hingga 5 Julai ini.
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ketua Institusi Al-Azhar (Sheikh Al-Azhar), Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyib, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari, bermula Selasa ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kedatangan Ahmed Mohammed Al-Tayyib adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Lawatan rasmi ini sudah tentu akan memberi makna besar kepada usaha pengukuhan perpaduan umat Islam, selain memperkukuh keakraban hubungan antara Malaysia dan Mesir.
“Pada masa sama, kehadiran beliau nanti akan memantapkan usaha-usaha pembangunan Islam di Malaysia khususnya pendidikan Islam dan tahfiz,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang lawatan rasmi Sheikh Al-Azhar itu, selain pertemuan bersama perdana menteri, beberapa program membabitkan beliau telah dirancang, antaranya Lawatan serta Bicara Eksekutif MADANI di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam; Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini; serta Sesi Pertemuan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia.
“JPM (Hal Ehwal Agama) amat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara,” katanya. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

