Syarikat Penerbangan Elak Ruang Udara Asia Barat, Batal Terbang Ke Israel

Singapore Airlines (SIA) dilaporkan telah berhenti terbang melalui ruang udara Iran sejak Jumaat dan menggunakan laluan alternatif. Foto Reuters
SINGAPURA, 2 Ogos – Beberapa syarikat penerbangan bertindak mengelak pesawat mereka daripada memasuki ruang udara Iran dan Lubnan serta membatalkan penerbangan ke Israel dan Lubnan.
Ia susulan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik perang yang semakin memuncak di Asia Barat selepas kejadian pembunuhan Ketua Sayap Politik Hamas, Ismail Haniyeh, kelmarin.
Menurut data penjejakan penerbangan, Flightradar24, Singapore Airlines (SIA) tidak lagi menggunakan ruang udara Iran untuk ke mana-mana laluan.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan berkenaan tidak memberi sebarang maklum balas mengenai perkara terbabit.
Menurut data FlightRadar24, EVA Air Taiwan dan China Airlines turut dilaporkan mengelak daripada menggunakan ruang udara Iran bagi penerbangan ke Amsterdam pada hari ini yang sebelum ini mereka menggunakan ruang udara terbabit.
Syarikat penerbangan itu turut tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenai perubahan laluan terbabit.
Memetik laporan buletin, OPSGROUP, iaitu sebuah organisasi berasaskan keahlian yang berkongsi maklumat risiko penerbangan, menasihatkan syarikat penerbangan perlu mengelakkan menggunakan ruang udara di Iran dan Iraq bagi laluan ke Asia dan Eropah.
Perkara itu selepas sehari memberitahu Reuters bahawa pegawai tertinggi Iran akan bertemu dengan Lubnan, Iraq dan Yaman bagi membincangkan kemungkinan tindakan balas terhadap Israel.
Banyak syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengambil tindakan sama dengan tidak menggunakan ruang udara Iran untuk ke mana-mana destinasi.
Menurut data FlightRadar24, penerbangan Singapore Airlines ke Heathrow London awal hari ini pergi ke utara Iran melalui Turkmenistan dan Azerbaijan, dan bukannya menyeberang melalui Iran seperti yang dilakukan sehari sebelumnya.
Bagaimanapun, sejumlah besar syarikat penerbangan pada hari ini masih menggunakan ruang udara Iran, termasuk syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu Etihad, Emirates dan FlyDubai, serta Qatar Airways dan Turkish Airlines.
Sejak kelmarin, Air India, Kumpulan Lufthansa Jerman, syarikat penerbangan AS United Airlines dan Delta Air, dan ITA Airways Itali dilaporkan bahawa mereka telah menggantung penerbangan ke Tel Aviv.
Pada minggu ini juga, beberapa syarikat penerbangan telah membatalkan dan menangguhkan penerbangan ke Beirut, Lubnan.
Dalam pada itu, Israel menyalahkan serangan ke atas kumpulan Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan.
Semalam, Kanada mengeluarkan notis kepada pesawat negara itu untuk mengelak menggunakan ruang udara Lubnan selama sebulan kerana risiko terhadap krisis perang.
Britain sebelum ini juga menasihati juruterbang mereka mengenai potensi risiko daripada persenjataan antipesawat dan aktiviti ketenteraan di ruang udara Lubnan. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


