Suspek Kes Tembakan Berdepan 7 Pertuduhan Membunuh

HIGHLAND PARK, 6 Jul – Lelaki didakwa melepaskan tembakan rambang menggunakan senapang terhadap orang ramai menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Chicago, didakwa atas tujuh pertuduhan membunuh dengan niat semalam.

Jika sabit kesalahan, suspek Robert E Crimo III, berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan, kata pendakwa raya Illinois, Eric Reinhard, ketika mengumumkan pertuduhan itu pada sidang media.

Tambah beliau, ia akan disusuli dengan beberapa pertuduhan tambahan sebelum siasatan selesai, selain pendakwa raya akan memohon Crimo terus ditahan tanpa jaminan ketika suspek hadir ke mahkamah hari ini.

Crimo merancang serangan itu sejak beberapa minggu lalu, dan mula mendapat perhatian pihak berkuasa sekurang-kurangnya dua kali selepas laporan mengatakan suspek mengugut membunuh diri atau mencederakan orang lain, lapor media tempatan semalam.

Menurut pihak berkuasa, Crimo melepaskan lebih 70 tembakan secara rambang dari atas bumbung ke arah orang ramai yang sedang menonton perarakan di Highland Park, Illinois, Isnin lalu.

Suspek kemudian menukar pakaian untuk menyamar sebagai wanita dalam kalangan orang ramai yang sedang panik.

Pihak berkuasa berkata, selain tujuh mangsa yang maut, lebih 36 yang lain cedera dan perlu mendapatkan rawatan bagi kesan tembakan dan kecederaan lain.

Sebelum ini pada April 2019, pihak berkuasa menerima laporan bahawa menerusi panggilan 911 bahawa Primo cuba membunuh diri, disusuli perbuatan mengancam anggota keluarganya pada Disember tahun yang sama.

Ketika siasatan kes kedua, pihak polis merampas sejumlah 16 pisau dan sebilah pedang milik Crimo di rumahnya, namun dia tidak ditahan kerana tiada sebab munasabah dan tiada aduan dibuat.

Antara yang maut ialah Nicholas Toledo, seorang datuk berusia 70an dari Mexico, yang menyertai perarakan Isnin lalu bersama keluarganya, dan Jacki Sundheim, seorang guru di sebuah rumah ibadat Yahudi yang berdekatan.

Suspek menggunakan raifal berkuasa tinggi dalam serangan itu, mirip kepada model AR-15, yang ditinggalkan di lokasi serangan.

Ketika ditahan memandu kereta ibunya, suspek mempunyai sepucuk lagi raifal jenis sama dan dipercayai memiliki banyak lagi senjata api, kesemuanya dibeli secara sah di Illinois termasuk pistol dan raifal.

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *