SSPA Beri Motivasi Terhadap Penjawat Awam Urus Perkhidmatan Lebih Efisen, Cekap – Abul Jais

Abul Jais SSPA mampu menambah keyakinan rakyat terhadap penjawat awam setiap kali mereka berurusan dalam apa jua permasalahan. Foto Arkib
PENDAPAT, 16 Ogos – Yang dinanti akhirnya terjawab sudah. Yang ditunggu ‘tuaian hasil’ bagi meningkatkan taraf kehidupan tanpa berkompromi dengan integriti dan tatakelola baik.
Oleh itu warga perkhidmatan awam diingatkan bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dirangka sebenarnya memberi motivasi terhadap prestasi kerja selain membawa harapan rakyat terhadap pembaharuan penyampaian sistem kerajaan yang lebih efisen dan cekap.
Saya melihat pelarasan gaji mengikut SSPA mampu menambah keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam setiap kali mereka berurusan dalam apa jua permasalahan.
Kalau dulu kena menunggu dua jam untuk dilayan, namun dijangka pada Isnin ini nanti pasti masa tersebut akan dikurangkan.
Keadilan dapat dilihat pada SSPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) kerana penilaian kenaikan pangkat dan imbuhan kini berdasarkan prestasi dan bukan semata-mata melihat kepada tempoh perkhidmatan mereka.
Justeru saya menyeru penjawat awam agar merebut peluang keemasan yang ditawarkan bagi memulihkan persepsi rakyat malah membantu kerajaan meningkatkan kecekapan pentadbiran dalam kerangka Malaysia MADANI.
Tidak mustahil hasil daripada pengumuman Perdana Menteri hari ini, rakyat akan memandang perkhidmatan awam mampu mencapai prestasi lebih baik dan meningkatkan hasil negara daripada pelarasan gaji yang diperincikan.

Maka benarlah penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SSPA bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi ia merupakan satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan SSPA akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Ganjaran akan hanya diberikan kepada mereka (penjawat awam) yang tunjuk kesetiaan dan memberikan perkhidmatan yang baik.

“Yang mengetepikan tugas, cuai dan malas, saya nak beritahu mereka ini tidak akan diberi layanan dan ganjaran setimpal. Kalau lembab, malas dan cuai, walau sudah kerja 20 tahun, peningkatan pendapatan tidak akan dijamin,” katanya yang disusuli tepukan gemuruh daripada lebih 3,000 penjawat awam yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ kini menjadi penanda aras kebangkitan perkhidmatan awam agar menjadi kebanggaan rakyat.
Saya amat bersetuju dengan Anwar selaras ketetapan itu adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam serta menjaga kesejahteraan pegawai, maka prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.
“SSPA ini adalah satu pengiktirafan terhadap pengorbanan yang begitu besar daripada penjawat awam dan semoga ia sedikit sebanyak memberi sinar harapan dalam kesejahteraan hidup penjawat awam,” katanya.
SSPA akan menggantikan SSM berkuat kuasa mulai 1 Disember ini pasti menceritakan seribu satu episod baharu ditambah lagi dengan keazaman Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang akan menjalankan amanah dengan penuh integriti dan berlandas tatakelola sewajarnya.
Menekankan peranan ketua jabatan bagi membantu penjawat awam yang mempunyai masalah dalam penyampaian perkhidmatan adalah menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk mengajak golongan itu kembali ke landasan yang betul demi meningkatkan mutu perkhidmatan agar tidak terlepas daripada menikmati ganjaran kenaikan gaji.
Semoga penjawat awam terus istiqamah melaksanakan tanggungjawab lebih berat mencapai negara hebat yang diidamkan Perdana Menteri.
ABUL JAIS ASHFAQ AHMED
Ketua Cabang KEADILAN Beruas
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

