SPRM Sedang Kesan Dua Individu Termasuk Menantu Muhyiddin

Poster daripada sebuah portal mendakwa menantu Muhyiddin terbabit dalam sksndal yang sedang disiasat SPRM. Foto Another Brick In The Wall
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki, termasuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.
“(Ini) bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing namun mereka masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM,” kata SPRM pada satu kenyataan hari ini.

Selain Adlan, SPRM juga mengesan Mansoor Saat, 69 tahun.
“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini,” kata suruhanjaya antirasuah itu lagi.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terlibat diminta menghubungi pegawai penyiasat SPRM, Nur Muhammad Amin bin Jamaluddin di talian 603-88700799 atau 016- 4322 699 atau emel kepada amin.jamaluddin@sprm.gov.my.
