SPR Buat Persiapan Wajar Jika PRU-15 Diadakan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengambil tindakan yang perlu bagi membuat persiapan sewajarnya jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilaksanakan tahun ini.
SPR memaklumkan, kos lebih RM1 bilion juga sudah dianggarkan bagi pelaksanaan PRU-15 sebelum Julai tahun depan.
“SPR akan tetap melaksana pilihan raya seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“SPR juga sudah mengambil tindakan yang perlu bagi membuat persiapan sewajarnya sekiranya pilihan raya dilaksana tahun ini seperti dinyatakan Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh sebelum ini,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
SPR berkata demikian bagi mengulas persiapan menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa, susulan pengumuman pembentangan Bajet 2023 diawalkan.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Bajet 2023 akan dibentang di Dewan Rakyat tiga minggu lebih awal pada 7 Oktober ini berbanding tarikh asal 28 Oktober.
Baru-baru ini, Abdul Ghani berkata, kos bagi pelaksanaan PRU-15 adalah dianggarkan kira-kira RM1.01 bilion.

Beliau berkata, perbelanjaan besar itu termasuk bagi menampung peningkatan jumlah pengundi baharu melalui pelaksanaan had umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.
Katanya, SPR perlu mengambil kira dan memastikan keselamatan semua aspek dan individu sama ada petugas, calon serta pengundi.
Sementara Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, pula berkata jumlah petugas bagi PRU-15 dijangka meningkat kepada 366,000 orang, pertambahan seramai 106,000 orang, berbanding pada PRU-14.
Beliau berkata, jumlah pusat mengundi akan bertambah kepada 9,560 pusat, berbanding 9,010 pusat pada PRU-14, selain itu, saluran mengundi juga dianggarkan meningkat kepada 38,990 saluran, berbanding 29,054 pusat pada pilihan raya sebelum ini.
