Speaker AS Tiba Di Singapura Dalam Siri Jelajah Ke Asia

SINGAPURA, 1 Ogos – Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi akan bertemu dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong semasa lawatannya ke negara itu, lapor Reuters, memetik laporan media.
Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmCham-SG) pada Ahad mengumumkan Pelosi dijadual berucap pada acaranya di Singapura pada Isnin.
Pada Ahad, lapor media tempatan Channel News Asia yang memetik Kementerian Luar Singapura, melaporkan bahawa Pelosi akan mengadakan lawatan dua hari ke Singapura mulai Isnin dan akan bertemu dengan presiden dan perdana menteri negara itu, serta anggota kabinet.

Pelosi dan delegasi kongres AS juga akan melawat Malaysia, Korea Selatan dan Jepun, sebagai sebahagian daripada rangka lawatan ke Asia.
Terdahulu, pesawat delegasi berkenaan berlepas dari pangkalan tentera udara di San Francisco sebelum singgah sebentar di Honolulu, Hawaii dan Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam untuk mengisi minyak dan tiba di republik itu jam 6 pagi tadi waktu tempatan.
