Singapura Tumpaskan Sindiket Seludup Sumbu Badak Hampir RM4 Juta

SINGAPURA, 6 Okt – Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) merampas 20 sumbu badak yang diseludup melalui Lapangan Terbang Changi, dianggarkan bernilai sekitar SGD$1.2 juta (RM3.9 juta).
“Rampasan sumbu badak itu adalah yang terbesar di Singapura setakat ini,” menurut NParks dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Bahagian keselamatan lapangan terbang dan unit K9 mengesan 34 kilogram sumbu badak di dalam dua buah bagasi.
Pemilik bagasi berkenaan, yang dilaporkan dalam perjalanan dari Afrika Selatan ke Laos dan transit di Singapura, kini ditahan.
Menurut NParks, sumbu badak dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) serta transaksi perdagangan antarabangsa membabitkan sumbu badak adalah dilarang.
Singapura antara negara yang menandatangani CITES dan komited dengan usaha antarabangsa untuk mengekang perdagangan hidupan liar haram demi memastikan kelangsungan hidup haiwan ini.
NParks memaklumkan bahawa ujian genetik sedang dijalankan di pusat forensik hidupan liar untuk mengenal pasti spesies badak sumbu.
“Sumbu yang dirampas ini akan dimusnahkan bagi menghalangnya daripada memasuki semula pasaran dan bertujuan menjejaskan rantaian bekalan tanduk badak yang didagangkan secara haram,” menurut kenyataan sama.
Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), pemilikan spesies dalam transit di Singapura tanpa permit CITES yang sah boleh dikenakan denda sehingga SGD$50,000 (RM163,000) setiap spesies (tidak melebihi agregat SGD$500,000 atau RM1.6 juta) dan atau hukuman penjara sehingga dua tahun.
Penalti yang sama dikenakan untuk mereka yang memiliki atau memindahkan spesies yang dijadualkan, termasuk bahagian dan bahan daripada haiwan berkenaan.
Singapura tidak bertolak ansur dalam isu perdagangan haram spesies hidupan liar yang terancam, menurut NParks.
