Singapura Tarik Produk Makanan Kandungan Meragukan

SINGAPURA, 27 Jul – Produk kuih terpilih daripada sembilan pengeluar tempatan, serta Kek Aneka ‘Best One‘ (perasa pisang) dan pek campuran buah-buahan Bake King, ditarik balik dari pasaran kerana penggunaan bahan diragui serta bahan tambahan tidak diisytiharkan.
Penarikan balik itu memberi kesan kepada produk kuih seperti kuih lapis, kuih ubi kayu dan ondeh-ondeh daripada Toh Chuan Kee Foodstuff, Tongli Food Manufacturing, AMK Nonya Kueh, Chit Guan Foodstuff, Delight Baker, Thomson Foodstuff Manufacturing, Sin Hwa Coconuts Industrial, Tiong Bahru Tian Bo Shui Kueh dan Lim Food Industries.
Agensi Makanan Singapura (SFA) menggantung pengeluaran, pengedaran dan penjualan produk kuih yang terbabit mulai semalam sehingga diberitahu kelak.
Produk kuih itu dikesan mengandungi asid benzoik dan asid sorbik yang tinggi, melebihi had dibenarkan digunakan hanya dalam pengisian produk kuih.
SFA juga menemui asid sorbik dalam Kek Aneka ‘Best One‘ (perasa pisang) yang melebihi had maksimum seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Makanan Singapura, dan sulfur dioksida, alergen yang tidak diisytiharkan, dalam buah-buahan campuran Bake King.
Asid benzoik dan asid sorbik adalah bahan tambahan biasa yang selamat apabila digunakan dalam kuantiti yang kecil, namun SFA berkata kajian terhadap haiwan yang diberi makan asid benzoik dalam dos tinggi mengalami kerosakan pada sistem saraf serta perubahan dalam otak.
Haiwan yang diberi makan dengan dos asid sorbik yang tinggi menunjukkan kesan seperti pertumbuhan yang terencat.
Pada masa sama, tahap sulfur dioksida yang berlebihan dalam makanan boleh mengakibatkan tindak balas alahan pada orang yang hipersensitif kepada sulfat.
Gejala yang dikesan termasuklah ruam kulit, kegatalan, sakit perut, cirit-birit, dan muntah.
“Pengguna yang sudah memakan produk yang terbabit dan bimbang mengenai kesihatan mereka boleh mendapatkan nasihat perubatan,” kata SFA.
– AGENSI
