Singapura Naikkan Tarif Gas Dan Elektrik Bermula 1 Julai

Kenaikan tarif gas dan elektrik bermula pada 1 Julai sehingga 30 September menyaksikan Singapura antara negara paling mahal tarif di Asia. Foto Singapore Energy Corporation
SINGAPURA, 29 Jun – Singapura akan menaikkan tarif gas dan elektrik untuk tiga bulan akan datang.
Mulai 1 Julai hingga 30 September, mereka yang dibekalkan oleh pengendali grid SP Group akan menyaksikan kenaikan 0.3 peratus dalam tarif elektrik berbanding suku sebelumnya, kata kumpulan itu dalam kenyataan semalam.
Bagi isi rumah, ia menyaksikan tarif 29.88 sen setiap kilowatt-jam sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST), meningkat daripada 29.79 sen pada masa ini. Tarif baharu masih satu sen lebih rendah daripada suku pertama 2024.
Portal berita The Straits Times melaporkan dengan tarif baharu itu, purata bil elektrik bulanan untuk keluarga yang tinggal di flat Lembaga Perumahan empat bilik akan meningkat sebanyak 35 sen sebelum GST, meningkat daripada $118.03 (RM410.50) kepada $118.38 (RM411.72).
Kenaikan itu disebabkan peningkatan kos tenaga, sebanyak 0.09 sen bagi setiap kWj secara purata, kata SP Group. Kos yang dibayar kepada syarikat penjanaan kuasa, diselaraskan setiap suku tahun untuk mencerminkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kuasa.
City Energy, pengeluar dan peruncit gas berpaip, berkata dalam satu kenyataan berasingan semalam bahawa tarif gas bandar akan meningkat sebanyak 0.30 sen setiap kWj dalam tempoh sama, juga disebabkan kos lebih tinggi.
Ini bermakna isi rumah akan membayar 23.42 sen setiap kWj sebelum GST, meningkat daripada 23.12 sen. Dengan GST, tarif yang disemak berjumlah 25.53 sen.
Tarif gas yang disemak diluluskan Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


