Singapura Destinasi Terbaharu Presiden Sri Lanka Yang Digulingkan

COLOMBO, 14 Jul – Bandar utama di Sri Lanka, Colombo, mulai tenang hari ini dengan orang ramai masih menanti peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke Maldives semalam dan kini dalam perjalanan ke Singapura.
Perkara itu disahkan sumber kerajaan Sri Lanka, selepas tindakannya melantik sekutunya yang juga Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, sebagai pemangku Presiden, mencetuskan demonstrasi lebih besar dengan penunjuk perasaan menyerbu Parlimen dan pejabat perdana menteri, menuntutnya turut berundur.
Sementara itu, seorang pegawai di lapangan terbang di Male memberitahu AFP bahawa Rajapaksa sudah meninggalkan Maldives dengan menaiki pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Saudia Air menuju ke Singapura.
Katanya, Gotabaya Rajapaksa bersama isterinya, Ioma dan dua pengawal peribadi menaiki pesawat sejurus sebelum ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana di Male.
Sumber kerajaan Sri Lanka turut mengesahkan kepada Reuters bahawa Rajapaksa kini dalam penerbangan ke Singapura, di mana beliau akan tinggal buat masa sekarang, selepas melarikan diri dari Sri Lanka ke Maldives Rabu lalu.
