Siastan Terhadap Muhyiddin Ikut Prosedur, Tak Tergesa-Gesa – KPN

Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebelum ini pun pihaknya sudah umumkan akan buat siasatan dalam tempoh tujuh hari manakala arahan pertuduhan pula datang dari Jabatan Peguam Negara (AGC).
KUALA KRAI, 27 Ogos – Polis menafikan dakwaan BERSATU mengenai siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dilakukan secara tergesa-gesa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebelum ini pun pihaknya sudah umumkan akan buat siasatan dalam tempoh tujuh hari manakala arahan pertuduhan pula datang dari Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Sebelum ini kita sudah beritahu akan tunjukkan prestasi kita dalam tujuh hari, tiada kena mengena tergesa-gesa. Kalau kata hari ini siasat, esok tuduh mungkin tergesa-gesa.

“Dalam masa tujuh hari itu, mungkin siasatan habis dalam masa empat hari dan AGC pula akan ambil masa satu atau dua hari pula atau 24 jam sahaja rakam keterangan dan arahan tuduh daripada AGC.
“Tidak timbul isu tergesa-gesa, tapi memang ambil masa yang tetap, kalau lambat nanti orang kata kita lembap, bila cepat kata tergesa-gesa pula,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan program Peluncuran Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Jenal, Dabong di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, selain menyatakan pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.
Menurut Ahmad Faizal, tindakan menyatakan fakta, terutama berkaitan Perlembagaan Persekutuan, tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan.
Katanya ucapan Muhyiddin pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini, disampaikan secara beralas tanpa mengandungi sebarang unsur provokasi.
Razarudin berkata, persoalan juga tidak timbul susulan pendakwaan segera dibuat terhadap Ahli Parlimen Pagoh, itu kerana pertuduhan yang dibuat hasil daripada siasatan.
“Manakala cadangan tuduhan adalah dari cadangan pihak AGC sama ada jalankan siasatan semula atau ambil keterangan,” katanya.
Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


