Siasat Dakwaan Campur Tangan Kehakiman, Dokumen JAC Bocor – Nurul Izzah

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri.
PUTRAJAYA, 14 Jul – Nurul Izzah Anwar menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman, selain isu kebocoran dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC).
Melalui satu kenyataan, Timbalan Presiden KEADILAN berkata dakwaan mengenai campur tangan itu diperkuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat.
Justeru, beliau percaya dakwaan dibuat itu perlulah disiasat dengan telus demi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
“Siasatan boleh dimulakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dengan menubuhkan tribunal bebas yang terdiri daripada sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan.
“Langkah ini akan membantu memperkukuh kepercayaan umum terhadap sistem dan institusi negara kita,” katanya.
Terdahulu, Nurul Izzah dilihat menghadiri perhimpunan dan menyertai barisan peguam, orang awam dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjalan dari Istana Kehakiman menuju Pejabat Perdana Menteri.
Tambah Nurul Izzah, kes penyalahgunaan kuasa sebelum ini termasuk membabitkan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan pendedahan skandal peguam VK Lingam, membakar semangat bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Mengenai kehadiran beliau pada Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman, Nurul Izzah berkata ia demi mempertahankan kebebasan badan kehakiman, dengan hak berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, selain didukung Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan mempunyai tiga cabang utama iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan yang saling memeriksa dan mengimbangi antara satu sama lain dalam memastikan tiada satu pihak pun yang bebas daripada kebertanggungjawaban.
Nurul Izzah berkata, individu dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak perlu berkelayakan, serta memiliki tahap integriti moral tertinggi dalam menjalankan amanah masing-masing.
“Badan kehakiman yang bebas sangat penting untuk menghalang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, jemaah menteri dan pihak eksekutif.
“Begitu juga, mahkamah boleh menegur Parlimen jika undang-undang yang diperkenalkan bersifat menindas atau bercanggah dengan Perlembagaan.

“Maka, perkara paling mustahak dalam menjamin keadilan adalah memastikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada dari dalam atau luar badan kehakiman,” katanya.
Nurul Izzah berkata, berlandaskan semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR, struktur sedia perlu ditambah baik supaya lebih lebih telus dan bertanggungjawab.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

