Sheinbaum Kini Presiden Wanita Mexico Pertama

Claudia Sheinbaum meraikan kemenangan dalam pilihan raya presiden Mexico sekaligus dilantik wanita pertama menjawat jawatan tertinggi negara itu. Foto AFP
MEXICO CITY, 3 Jun – Claudia Sheinbaum mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Presiden wanita pertama Mexico selepas keputusan awal jelas berpihak kepadanya.
Pihak berkuasa pilihan raya memaklumkan kiraan undi menunjukkan Sheinbaum meraih antara 58 dan 60 peratus undi sokongan menerusi Pilihan Raya Presiden pada Ahad.
Angka itu meletakkan beliau di hadapan pesaingnya yang juga wanita, Xóchitl Gálvez dengan hampir 30 mata peratusan.
Sheinbaum, 61, akan mengambil alih tampuk kepimpinan daripada mentor beliau, Andrés Manuel López Obrador pada 1 Oktober depan.
Menerusi ucapan kemenangannya, beliau berikrar meneruskan kesinambungan dan membina ‘kemajuan’ pemerintahan terdahulu.
“Saya tidak akan hampakan anda semua,” katanya yang turut disambut sorakan para penyokong beliau di dataran utama Zocalo di ibu kota.
Ketika menunaikan tanggungjawabnya, Sheinbaum secara terbuka menyatakan beliau membuang undi untuk veteran berhaluan kiri, Ifigenia Martinez yang berusia 93 tahun.
“Kita bersaing menentang autoritarianisme kerana mereka mampu melakukan apa sahaja. Hidup demokrasi!” laung pemimpin tersebut.
Hampir 100 juta daripada 129 juta populasi di Mexico layak mengundi pada pemilihan pada kali ini. – Agensi
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

